Sunday 2 September 2012

Isu Kesantunan Guru


Assalamualaikum dan selamat sejahtera. 
Bila disebut mengenai pendidikan di sekolah, guru adalah individu yang berkait rapat dengan hal tersebut. Guru sering kali dianggap sebagai idola dan contoh terbaik kepada semua murid bahkan masyarakat setempat di sekitar kawasan sekolah. Suatu ketika dulu, masyarakat amat menyanjung dan menghormati insan yang bergelar guru. Masih saya ingat lagi, cerpen-cerpen yang ditulis di dalam buku kompilasi cerpen guru-guru lama. Mereka sering menceritakan bagaimana masyarakat setempat sangat menghargai mereka. Khususnya masyarakat di desa, mereka sering memberikan pisang, ubi, lauk-pauk, kuih-muih dan sebagainya kepada guru yang telah berpenat lelah mengajar anak-anak mereka di sekolah. Namun kini, situasinya jauh berbeza. Dalam era teknologi di hujung jari ini, masyarakat seolah-olah tidak menyedari dan menghargai apa yang telah dilakukan oleh para guru.

Saban hari, terpapar cerita-cerita kurang enak sebagai tajuk utama muka depan akhbar. Guru cabul murid, guru mengedar dadah, guru ditangkap khalwat dan berbagai-bagai lagi cerita mengenai guru dipaparkan. Ibarat kata pepatah, kerana setitik nila, habis susu sebelanga. Guru juga manusia biasa yang diciptakan Allah yang sudah pasti tidak akan lari daripada melakukan kesalahan. Oleh kerana cerita-cerita negatif di dada akhbar mengenai guru tersiar, habis semua guru menerima kesannya. Ibu bapa juga seolah-olah tidak mempercayai guru yang diamanahkan untuk mendidik anak-anak mereka di sekolah. Ada sahaja salah guru di mata ibu bapa. Guru membuat tanda soal di dalam buku kerja anak mereka  yang secara terang-terangan tidak menyiapkan kerja rumah yang diberikan juga boleh menjadi isu besar.

Namun demikian, tidak dinafikan bahawa ada segelintir guru yang mencemarkan profesion perguruan dengan pelbagai perkara negatif seperti khalwat, cabul, rogol dan sebagainya. Sudah menjadi lumrah alam, manusia tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan. Guru-guru harus lebih berhati-hati dan berfikir sebelum melakukan sebarang tindakan kerana dikhuatiri tindakan yang dilaksanakan boleh mencemarkan profesion perguruan.
Saksikan.

Pernahkah anda menonton video-video klip beliau?
Suatu masa dahulu, nama Cikgu Shida menjadi popular dalam sekelip mata dan menjadi sebutan ramai. Siapakah Cikgu Shida? Cikgu Shida atau nama sebenarnya Roshida binti Abdul Aziz merupakan seorang guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah yang terletak di Parit, Perak. Guru berusia 40 tahun ini menjadi terkenal kerana aksi miming di laman video popular iaitu Youtube. Artikel yang dipetik daripada laman sesawang akhbar tersohor negara iaitu Harian Metro menceritakan bagaimana minat Cikgu Shida untuk membuat video miming ini bermula. “Niat suka-suka” begitulah jawapan beliau apabila ditanya wartawan. Pelbagai jenis lagu telah dibuat lakonan nyanyian miming oleh beliau. Ada sesetengah videonya telah ditonton lebih sejuta penonton sejak video tersebut dimuat naik ke laman sesawang Youtube. Video-video beliau turut ditonton oleh masyarakat dari luar negara. Satu pencapaian yang agak hebat bagi individu biasa.
Pelbagai tohmahan dan tidak kurang juga pujian telah diberikan kepada beliau. Ada pihak yang menyokong dan ada juga pihak yang mengeji tindakan beliau menghasilkan klip video lakonan miming. Namun, ia sedikit pun tidak melemahkan semangat Cikgu Shida untuk menghiburkan orang lain dengan caranya yang tersendiri. Video klip miming Cikgu Shida menjadi kontroversi hangat kerana di dalam video-video beliau, beliau menggayakan pelbagai jenis kostum dengan memek muka dan aksi yang agak keterlaluan dilihat namun lucu. Apa yang menjadi isu adalah aksi yang ditunjukkan beliau seolah-olah tidak sesuai dengan kerjayanya seorang guru.
Cikgu Shida turut dijemput sebagai tetamu undangan di dalam beberapa rancangan bual bicara mengenai hiburan. Malah, beliau turut turut ditawarkan membintangi drama. Namun, apakah pandangan masyarakat terhadap beliau? Adakah apa yang dilakukan oleh Cikgu Shida ini melanggar etika guru?
Melalui pembacaan daripada blog dan komen-komen di akhbar, didapati bahawa kebanyakan anggota masyarakat tidak begitu senang dengan tingkah laku Cikgu Shida ini. Menurut mereka, Cikgu Shida sudah mencemarkan imej profesion perguruan, memalukan kaum wanita dan tidak layak menjadi contoh. Tidak kurang juga yang meminta agar Cikgu Shida diberhentikan atau dipecat oleh Kementerian Pelajaran Malaysia daripada menjadi guru. Namun demikian, Cikgu Shida khabarnya merupakan seorang guru yang komited, kreatif dan cemerlang dalam pengajarannya. Menurut khabaran itu juga, oleh sebab itu, guru besar sekolah tersebut tidak mengambil apa-apa tindakan tatatertib ke atas beliau. Banyak komen daripada blogger-blogger menyatakan bahawa Cikgu Shida telah melanggar etika perguruan. Adakah ianya benar?
Menurut Kamus Dewan(1995), etika merupakan sebuah sistem dasar akhlak, adat atau tingkah laku atau kesusilaan. Dari pandangan Islam pula, etika merupakan akhlak dan tingkahlaku yang baik yang diamalkan oleh seorang yang baik peribadinya. Menurut Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), etika ialah akauntabiliti dan akibat tingkahlaku seseorang atau profesion terhadap masyarakat. Setiap penjawat awam harus mematuhi  dan memahami larangan serta kebenaran tingkahlaku Perkhidmatan Awam. Etika juga boleh disimpulkan sebagai suatu aturan tingkahlaku yang baik dan berakauntabiliti yang perlu diamalkan oleh setiap individu.
Setiap profesion mempunyai kod etika kerja yang tersendiri. Profesion perguruan juga tidak terlepas daripada mempunyai etika kerja sendiri. Etika kerja perguruan digubal bagi memartabatkan profesion perguruan. Setiap individu yang bergelar guru wajib mematuhi kod etika ini selama masih dirinya bergelar guru. Ia adalah untuk menjaga status, akhlak dan maruah dalam profesion keguruannya. Di Malaysia, ‘Tatasusila Profesion Keguruan’ yang disarankan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia merupakan landasan dan garis panduan bagi setiap guru. Menurut ‘Tatasusila Profesion Keguruan’ ini, setiap guru mempunyai akauntabiliti ke atas murid, ibu bapa, masyarakat dan negara, rakan sejawat dan profesion.
Ikrar Tatasusila Profesion Keguruan:
“Kami, guru-guru Malaysia, yakin bahawa tujuan utama pendidikan ialah berusaha menuju ke arah pembentukan warganegara yang berilmu,yang taat setia, yang bertanggungjawab dan berkebolehan, yang menyedari betapa pentingnya usaha menuju ke arah kebenaran dan ke arah pencapaian hasrat yang gemilang, dan yang percaya kepada demokrasi, kebebasan perseorangan dan prinsip-prinsip Rukun Negara. Dengan menyedari betapa besarnya tanggungjawab mebimbing anak muda untuk mecapai kemajuan sepenuh-penuhnya, maka dengan ini, kami menerima Tatasusila berikut sebagai panduan untuk membolehkan kami menyempurnakan profesion kami ke taraf kesusilaan yang setinggi-tingginya :
                      i.        Tanggungjawab terhadap pelajar
                    ii.        Tanggungjawab terhadap ibu bapa
                   iii.        Tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara
                   iv.        Tanggungjawab terhadap rakan sejawat dan profesion keguruan”

Kod etika perguruan menjadi garis panduan bagaimana bertingkahlaku dalam profesion yang banyak menguji kesabaran ini. Kod etika perguruan juga menyatakan dengan jelas tentang tanggungjawab guru sebagai pemegang amanah di dalam bidang pendidikan. Amanah yang dipikul oleh insan bernama guru adalah amat besar. Guru harus mendidik dan mencorak generasi muda yang bakal memimpin negara pada masa akan datang. Maka, guru haruslah mengikut dan mematuhi kod etika perguruan agar guru masih lagi berjalan dan berlari di atas landasan yang betul.
Terdapat pelbagai isu berkaitan dengan etika guru seperti kesantunan guru, kepedulian guru, penampilan guru, berniaga di sekolah, pengurus masa dan juga pengurus kewangan. Kesemua masalah dan isu berkaitan guru dapat dikelaskan kepada enam isu itu. Keenam-enam isu tersebut merupakan isu berkaitan guru yang terjadi di Malaysia. Berbalik kepada isu yang ditimbulkan apabila tersebarnya video lakonan miming Cikgu Shida. Adakah perilaku Cikgu Shida yang mana minatnya untuk membuat video miming tersebut salah di sisi etika keguruan? Adakah beliau telah melanggar kod etika perguruan dan Tatasusila Profesion Keguruan?
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) iaitu Encik Hashim Adnan berpendapat bahawa isu Cikgu Shida ini tidak melanggar etika perguruan dan ia hanya bersifat mencari hiburan untuk diri sendiri. Beliau turut meminta masyarakat untuk melihat apa yang dilakukan oleh Cikgu Shida dari sudut yang positif. Beliau mengatakan Cikgu Shida berjaya menunjukkan kreativitinya kerana berjaya melakonkan pelbagai watak dengan pelbagai aksi yang lucu untuk ditonton. Selain itu, beliau juga berkata laman sesawang Youtube mampu dilayari sesiapa sahaja dari seluruh dunia dan ini bererti video itu boleh ditonton pelbagai golongan, sekali gus menaikkan institusi perguruan. Kenyataan beliau telah dikecam oleh mereka yang tidak menyukai video lakonan miming Cikgu Shida kerana berpendapat beliau seolah-olah menyokong apa yang dibuat oleh Cikgu Shida.
Setiap individu mempunyai pandangan yang berbeza-beza mengenai isu ini. Pada pendapat saya sebagai seorang guru pelatih, Cikgu Shida sebenarnya merupakan seorang guru yang berbakat dan kreatif dalam mengajar. Sewaktu melayari laman sesawang youtube, saya ada menonton sebuah klip video Cikgu Shida. Beliau telah mencipta sebuah lagu patriotik dan mengajarkan lagu tersebut kepada murid-muridnya di sekolah. Selain itu juga, terdapat video yang menunjukkan murid-murid beliau membuat persembahan dengan bimbingan dan tunjuk ajar dari beliau. Bukan mudah bagi seorang guru untuk membimbing murid-murid sekolah rendah untuk membuat persembahan yang kreatif dan menarik. Selalunya, ia akan memakan masa yang agak lama untuk melatih murid-murid membuat persembahan. Rata-rata guru yang diberi tanggungjawab untuk melatih murid membuat persembahan sudah pasti akan ketandusan idea untuk mencari aktiviti persembahan yang sesuai dengan kebolehan dan tahap murid. Begitu juga dengan Cikgu Shida. Beliau kreatif di dalam memilih persembahan dan membimbing murid-muridnya. Usaha beliau yang komited dapat dilihat dalam video tersebut apabila murid-muridnya berjaya membuat persembahan dengan baik. Ini menunjukkan, latihan dan bimbingan yang diberikan oleh beliau berkesan.
Namun demikian, mengenai video lakonan nyanyian Cikgu Shida, ianya agak kurang manis untuk dilakukan oleh seorang insan yang bergelar guru. Tambahan lagi, guru wanita. Pada pendapat saya, video lakonan nyanyiannya telah melanggar kod etika perguruan. Walaupun pada hakikatnya, beliau hanya berniat sekadar untuk mengisi lapang, namun, gaya dan perwatakan beliau dalam video tersebut agak kurang menyenangkan. Rata-rata laman sesawang dan juga komen-komen penonton menyatakan video tersebut amat memalukan dan mencalarkan imej seorang guru dan profesion perguruan. Ada juga segelintir komen dan pendapat yang menunjukkan tanggapan negatif mereka terhadap guru selepas menonton video lakonan nyanyian Cikgu Shida. Maka, apabila terdapatnya pendapat yang sebegini, saya berpendapat bahawa Cikgu Shida telah melanggar kod etika perguruan di bawah isi tanggungjawab kepada rakan sejawat dan profesion.
Antara isi penting tanggungjawab kepada rakan sejawat dan profesion adalah seperti yang berikut:-
                      i.        Mengelakkan diri dari membuat sebarang kenyataan atau ulasan yang boleh mencemarkan nama baik seseorang guru di hadapan pelajar atau ibu bapa atau membuat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah seseorang guru.
                    ii.        Tidak melibatkan diri dalam sebarang kegiatan yang boleh menjejaskan kecekapan kami sebagai guru.
                   iii.        Berusaha dengan sepenuh-penuhnya menunaikan tanggungjawab kami dengan rajin dan bersungguh-sungguh dan mengekalkannya sejajar dengan kemajuan ikhtisas dan sosial.
                   iv.        Sentiasa bersedia membantu rakan sejawat kami terutamanya mereka yang baharu dalam profesion perguruan.
                    v.        Sentiasa mengawasi diri kami supaya tidak mencemarkan nama baik profesion perguruan.
                   vi.         Akan menjadi ahli sebuah pertubuhan guru.

Berdasarkan kepada isi (i) dan (v). Tanggungjawab kepada rakan sejawat dan profesion perguruan memerlukan seorang guru menjaga nama baik seseorang guru di hadapan murid dan ibu bapa serta tidak melakukan sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah  seorang guru. Tindakan Cikgu Shida yang beraksi sedemikian rupa adalah amat memalukan. Saya yang menonton video-video lakonan nyanyian beliau juga berasa malu. Beliau sanggup berpakaian seperti lelaki dan mencalitkan warna-warna hitam seolah-olah misai dan janggut untuk menjayakan lakonan nyanyiannya. Gerak tari dan memek muka beliau jelas menunjukkan beliau tidak berasa malu untuk beraksi di hadapan kamera. Pelbagai kritikan pedas dan cercaan dapat dibaca ada ruangan komen dalam laman sesawang youtube. Ada antara pelayar Youtube mengatakan bahawa Cikgu Shida sudah mencemarkan profesion perguruan. Malah, ada yang mengatakan Cikgu Shida seorang yang gila dan tidak waras akal fikirannya.
Rujuk komen
Sebagai seseorang yang memegang jawatan sebagai guru, beliau seharusnya lebih bijak menjaga nama baik profesion dan maruah dirinya sendiri. Beliau seharusnya menjaga tingkahlaku, dan imej bersih seorang guru. Seorang guru haruslah mempunyai tingkahlaku yang sopan dan menjaga adab serta tatasusilanya di hadapan umum. Apabila menonton video-video miming beliau, saya lantas beristighfar kerana terkejut melihat aksinya. Saya akui beliau memang seorang individu yang berani. Namun, perlu ada batasannya kerana selagi seseorang itu bergelar guru, maka segala tindakannya haruslah terkawal agar tidak melanggar etika. Akibat daripada ‘keberanian’ beliau menghasilkan video ini, ramai individu mempertikaikan gelaran ‘Cikgu’ pada Cikgu Shida. Mereka memperlekehkan Cikgu Shida dengan mengatakan beliau tidak layak menjadi guru dan bermacam-macam lagi. Tidak kurang juga ada yang beranggapan bahawa guru-guru di sekolah mempunyai masa rehat yang terlalu banyak dan menghabiskan masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah seperti merakam video sendiri, berniaga dan sebagainya. Imej profesion perguruan telah tercalar di situ.
Ramai yang beranggapan bahawa beliau telah mencemarkan dan menjejaskan profesion perguruan. Dalam Etika Profession Perguruan juga ada menyebut:
                      i.        Seorang guru tidak harus bertingkah laku begitu rupa sehingga mencemarkan sifat profesionnya dan yang akan menyebabkan hilang kepercayaan orang ramai terhadap profession perguruan.
                    ii.        Dia tidaklah harus bertingkah laku begitu rupa yang boleh membawa kepada jatuhnya maruah diri dan kehilangan amanah berhubung dengan kewangan.
Jelaslah di sini, bahawa tindakan beliau itu menyalahi etika profesion perguruan. Mungkin selepas ini, beliau akan lebih berhati-hati dan menjaga etika kerjanya.
Selain itu juga, isu beliau menjadi pertikaian hangat kerana tindakannya tidak sopan dan tidak sesuai dengan imejnya sebagai seorang Muslimah. Di sekolah, seorang guru wanita Islam kebiasaannya akan memakai tudung. Begitu juga Cikgu Shida. Pada pendapat saya, beliau bukanlah seorang wanita yang bertudung atas dasar terpaksa kerana menjawat jawatan guru. Penampilan beliau di dalam rancangan bual bicara FBI yang disiarkan di TV9 jelas menunjukkan beliau seperti guru-guru biasa di sekolah yang berpenampilan sopan dan menutup auratnya. Jelas ketara imejnya sebagai seorang seorang guru.
Namun demikian, di dalam video lakonan nyanyiannya, imejnya berubah. Malah ada di dalam sesetengah video hasilannya, beliau tidak memakai tudung. Khususnya apabila beliau melakonkan watak lelaki. Auratnya sebagai seorang wanita Muslimah juga tidak dijaga dengan baik. Lehernya juga kadang-kadang terdedah. Beliau seolah-olah terlalu menghayati watak yang dibawa sehingga menjejaskan batasnya sebagai seorang wanita beragama Islam. Ada juga yang menyuarakan pendapat seandainya video ini dihasilkan oleh seorang guru lelaki, ia mungkin tidak menjadi masalah dan isu besar.
Rakyat Malaysia terkenal dengan sifat sopan-santun dan merendah diri. Kaum wanita berbangsa Melayu khususnya dikenali sebagai seorang yang lemah lembut, bersopan-santun dan juga pemalu. Namun, daripada video-video beliau, ramai yang beranggapan bahawa nilai sopan dan pemalu tersebut telah hilang dalam video. Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, isu etika guru juga meliputi isu kesantunan. Kesantunan dapat dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu:-
                      i.        Kesantunan berpakaian
a.    Jenis Pakaian
b.    Solekan
                    ii.        Kesantunan tingkahlaku
a.    Tatacara bertindak
b.    Gerak geri guru
                   iii.        Kesantunan berbahasa
a.    Cara berkomunikasi
Dalam isu ini, ia terletak di bawah isi kesantunan tingkah laku. Guru merupakan contoh dan ikutan bagi murid-murid. Maka, guru haruslah menunjukkan sifat dan kesantunan yang tinggi agar murid-murid lebih menghormati guru tersebut. Menurut Prinsip Kesantunan Leech (1983), terdapat 6 prinsip kesantunan yang wajar dipatuhi.
                      i.        Santun/berhemah : meminimumkan kos dan memaksimumkan faedah kepada orang lain
                    ii.        Budiman : meminimumkan faedah atau manfaat dan memaksimumkan kos ke atas diri sendiri.
                   iii.        Sokongan / berkenan : meminimumkan cacian dan memaksimumkan pujian terhadap orang lain
                   iv.        Merendah diri / kerendahan hati : meminimumkan pujian, memaksimumkan cacian terhadap diri sendiri
                    v.        Persetujuan : meminimumkan perbalahan, memaksimumkan persetujuan antara diri dengan orang lain
                   vi.        Simpati : memaksimumkan simpati antara diri dengan orang lain
Berdasarkan model ini, guru haruslah mengamalkan setiap aspek kesantunan dalam kehidupan supaya menjadi guru yang dihormati dan disegani serta menjadi contoh ikutan kepada murid-murid di sekolah.
Apabila masyarakat memanggil kita dengan gelaran ‘cikgu’, ia bagaikan satu penghormatan kepada kita. Tipikal rakyat Malaysia, menganggap guru ataupun lebih mudah dikenali sebagai cikgu adalah seorang yang sempurna dalam segala hal. Cikgu pada minda rakyat Malaysia merupakan seorang yang lemah lembut, sopan dan baik budi pekerti serta akhlaknya. Di dalam isu Cikgu Shida ini, andai kata beliau bukanlah seorang guru, sudah tentu ia tidak menjadi perdebatan hebat. Andai beliau merupakan seorang jurutera, arkitek dan merakamkan video lakonan nyanyian begini, masyarakat tentu tidak mengambil kisah. Namun, gelaran cikgu yang ada pada beliau menyebabkan beliau dicemuh kerana tipikal rakyat Malaysia memang begitu.
Dalam laman facebook Cikgu Shida, beliau pernah mengatakan beliau tidak selesa dipanggil Cikgu Shida, sebaliknya lebih senang sekiranya dipanggil dengan nama Cik Shida sahaja. Bagi beliau, gelaran cikgu hanya sesuai dipanggil di tempat dia bekerja sahaja. Pada pandangan saya, Cikgu Shida sebenarnya sedar akan tindakannya itu sedikit sebanyak mencalarkan imej profesion perguruan. Oleh sebab itu, dia meminta orang ramai memanggilnya dengan panggilan cik sahaja dan bukannya cikgu. Namun disebabkan minatnya untuk membuat lakonan nyanyian, beliau meneruskan penghasilan video-video ini. Malah beliau turut menganggapnya sebagai satu cabang seni.
Ada individu daripada ruangan laman Facebook yang berpendapat, gelaran cikgu itu perlu dibawa walaupun di mana jua guru itu berada. Dalam agama Islam pun, guru itu mendapat tempat tertinggi selepas kedua ibu dan bapa. Sehingga seorang guru itu meninggal dunia, gelaran cikgu itu tidak akan pernah terpisah daripada namanya. Orang ramai akan tetap mengingatinya sebagai guru.
 Dalam minda masyarakat Malaysia, seorang guru itu haruslah merupakan seorang insan yang sempurna. Elok penampilan, tersusun tutur bahasa, baik tingkah laku dan tinggi akhlak pekerti adalah trait-trait personaliti guru dalam minda masyarakat kita. Mereka amat berharap guru yang mengajar anak-anak mereka di sekolah merupakan individu yang berakauntabiliti dan berintegriti serta sesuai dijadikan contoh ikutan anak-anak mereka. Rasa percaya mereka terhadap guru akan timbul dengan melihat guru-guru yang wajar dijadikan contoh bagi anak-anak di sekolah.
Kerjaya guru tugas mulia di sisi Islam, apatah lagi membabitkan disiplin ilmu berkaitan agama. Islam sebagai satu agama yang mementingkan ilmu pengetahuan, memandang tinggi martabat seorang pendidik sama ada berkaitan ilmu duniawi atau ukhrawi. Dalam hal ini, Rasulullah SAW membuktikan betapa pentingnya peranan guru dalam proses penyebaran dakwah Islamiah pada zaman permulaan Islam. Sebagai utusan terakhir kepada umat manusia, Baginda SAW sendiri mengajar dan mendidik umat manusia berpandukan wahyu Ilahi. Baginda juga merupakan seorang guru pada zamannya.
Dewasa ini, pelbagai berita yang boleh dikira sebagai keadaan di mana martabat guru cuba direndahkan. Hal ini tidak sepatutnya berlaku. Memang ada segelintir guru yang membuat onar tetapi sebahagian besar menjalankan tanggungjawab mendidik anak bangsa dengan baik. Ibarat kata pepatah, jangan kerana seekor kerbau membawa lumpur, habis semuanya terpalit sama.
Sesungguhnya segala amal bakti seorang guru dalam menyampaikan ilmu yang bermanfaat kepada anak didiknya akan melayakkan dirinya mendapat ganjaran kebaikan, meskipun setelah pergi mengadap Ilahi. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya." (Surah al-Muzammil, ayat 20). Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: "Apabila meninggal dunia seorang manusia, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, anak soleh yang mendoakannya." (Hadis riwayat Muslim). Jelas di sini bahawa profesion perguruan itu mendapat tempat yang tinggi di dalam agama Islam. Ianya merupakan sebuah profesion yang mulia. Maka, sebagai seorang yang bergelar guru, kita haruslah menjaga nama baik profesion dan tidak melanggar etika-etika perguruan agar masyarakat kekal memandang mulia kerjaya guru sehingga akhir zaman nanti. InsyaAllah! 

1 comment:

  1. Salam... mohon share semua rujukan lengkap mengenai artikel ni. Diharap dapat kongsi penulisan dan pendapat...please emel kat by_gicoh08@yahoo.com.. terima kasih.. semoga mendapat manfaat bersama.

    ReplyDelete