Sunday 2 September 2012

Isu Kerjaya Sambilan


1.0.        PENGENALAN

Dalam era globalisasi ini kerjaya guru dilihat sebagai satu profesion yang amat mencabar. Pelbagai desas-desus dari media masa sibuk mengembar-gemburkan isu-isu berkaitan dengan guru terutamanya yang melibatkan tingkah laku guru di sekolah. Walau bagaimanapun tugas guru tetap dianggap satu kerjaya yang mulia dan wajar dihormati. Cuma sikap segelintir individu yang suka memandang rendah terhadap profesion ini menyebabkan kerjaya ini dianggap bukan bidang profesional.

Isu-isu seperti guru merotan murid, guru mencabuk murid, guru ponteng, guru berniaga di sekolah dan banyak lagi isu menjadi punca kerjaya ini semakin dipandang rendah. Tambahan pula, pelajar hari ini tidak lagi mepunyai rasa hormat kepada guru kerana menganggap ibu bapa mereka lebih berada daripada guru. Dalam dunia pendidikan hari ini, guru tidak lagi dianggap sebagai seorang pendidik yang mendidik anak bangsa untuk membentuk generasi yang berakhlak. Sebaliknya, guru hanya dianggap tidak ubah seperti orang yang bekerja untuk wang semata-mata. Walhal, guru dalam era globalisasi ini menerima pelbagai cabaran daripada masyarakat terutamanya ancaman-ancaman berbentuk saman, peras ugut, rasuah dan sebagainya. Oleh itu, guru perlu bijak menangani dan menghadapi setiap cabaran ini.

Memandangkan isu guru semakin serius diketengahkan oleh pihak-pihak yang mencemburui profesion ini. Pelbagai pihak patut tampil untuk bersuara terutamanya bagi memastikan kerjaya ini tidak lagi dipandang rendah oleh orang lain. Jangan kerana setitik nila rosak susu sebelanga. Kupasan mengenai isu guru berpolitik sedikit sebanyak akan memberi gambaran mengenai baik dan buruk perkara ini. Diharap melalui kupasan ini, akan memberi pencerahan mengenai isu guru-guru yang terlibat dengan politik.

2.0.        ULASAN ARTIKEL ‘GURU BERPOLITIK, ANTARA AMANAH DAN MASALAH’

Berdasarkan artikel yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia Online pada bulan Ogos 2010 ini menceritakan mengenai realiti yang akan diterima apabila guru siswazah dibenarkan berpolitik. Ramai pihak tampil untuk memberikan pendapat mereka apabila kerajaan membenarkan guru-guru berpolitik. Sedangkan hakikat guru merupakan antara individu yang paling berpengaruh dalam kehidupan masyarakat hari ini. Hal ini mungkin disebabkan guru merupakan insan yang paling rapat dengan masyarakat kerana kehadiran mereka sering disenangi oleh penduduk setempat.

Penulis artikel ini memberi gambaran sebenar senario guru-guru berpolitik pada hari ini sebelum kerajaan Malaysia membenarkan guru siswazah berpolitik pada Ogos 2010. Beliau mengetengahkan isu-isu yang bakal terjadi sekiranya guru-guru berpolitik. Termasuklah parti yang akan dipilih guru sekiranya mereka dibenarkan bergiat aktif dalam politik. Beliau juga telah menjalankan temuramah ke atas beberapa penolong kanan di beberapa buah sekolah menengah di Kedah. Kebanyakan daripada guru-guru ini memberi maklum balas positif sekiranya guru dibenarkan berpolitik.

Penulis juga, memberi gambaran mengenai andaian dan tafsiran pelbagai pihak sekiranya guru-guru terlibat dengan politik. Sebilangan daripada pimpinan tertinggi sesetengah parti merasakan kedudukan mereka akan tergugat sekiranya guru diberi peluang untuk bergiat aktif dalam politik. Senario ini memungkin guru akan menerima ancaman besar sekiranya melibatkan diri dalam politik. Tambahan pula, banyak pihak yang akan mengeksploitasi guru untuk meraih sokongan rakyat terhadap parti mereka. Keadaan ini akan mencetuskan satu fenomena baru dalam dunia pendidikan. Maka akan terjadilah situasi guru berpolitik di sekolah dan mewujudkan sentimen-sentimen negatif  dalam dunia pendidikan negara.
Guru-guru hari ini sebenarnya tidak banyak diberi pendedahan mengenai perjalanan pentadbiran kerajaan malahan politik. Hal ini menyebabkan guru-guru cuba mendapatkan maklumat dari ceramah-ceramah pembangkang untuk mengetahui kedududukan sebenar terutamanya dari segi kewangan negara. Keadaan ini terjadi apabila guru merasakan mereka dipergunakan kerajaan untuk tujuan meramaikan majlis-majlis yang dihadiri golongan kenamaan tambahan pula dengan soal peruntukan perbelanjaan sekolah yang banyak dipotong menyebabkan guru-guru semakin tertekan. Jadi tidak hairanlah jika guru-guru hari ini semakin banyak yang berusaha melibatkan diri dalam parti-parti politik bagi untuk mendapatkan perhatian pihak tertentu.

Penulis juga menceritakan bagaimana layanan kerajaan kepada guru hari ini menyebabkan guru-guru lebih memilih untuk menyokong pembangkang. Penulis menyeru kepada pimpinan kerajaan untuk untuk memberi sanjungan kepada guru-guru yang bersusah-payah mendidik anak bangsa untuk menjadi generasi berguna. Hal ini kerana guru merupakan individu yang paling berpengaruh dalan masyarakat. Jasa guru mendidik anak-anak orang kampong sehingga berjaya dalam pelajaran akan menjadi modal tuntutan membalas budi dengan menyokong parti yang diserrai guru berkenaan. Oleh itu, guru seharusnya menggunakan kelebihan ini dengan sebaiknya agar tiada pihak yang menganggap profesion ini merupakan satu batu loncatan untuk berkecimpung dalam arena politik.

Akhir sekali, penulis mengingatkan para guru agr tidak membawa sentimen  politik hingga ke bilik darjah. Guru juga diingatkan agar tidak terlalu ekstrem menyokong mana-mana parti kerana hal ini akan menjejaskan profesion mereka. Guru menerima gaji dan elaun untuk mendidik anak bangsa bukanlah untuk berpolitik semata-mata.  Secara keseluruhannya artikel ini boleh dikaitkan dengan isu kerjaya sambilan dan juga dari segi pengurus masa yang mana melibatkan tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul untuk mendidik anak bangsa perlu diutamakan.
3.0.        SENARIO GURU BERPOLITIK DI MALAYSIA

Pembabitan guru dalam politik bukanlah baru kerana mereka adalah antara barisan hadapan dalam memberi sokongan terhadap perjuangan mencapai kemerdekaan negara. Bagaimanapun sejak 1980-an, guru tidak dibenarkan lagi aktif dengan alasan mereka golongan 'berbahaya' dan berpengaruh yang boleh mencetuskan huru-hara. Dr Ishak Sin, Pensyarah Pendidikan Sastera dan Sains Universiti Utara Malaysia (UUM) dipetik dari laman web PPD Daerah Kubang Pasu berkata pandangan politik yang sempit boleh mengundang padah dan inilah yang cuba dielakkan pihak berkuasa supaya tidak timbul masalah dengan mengenakan beberapa sekatan bagi kebaikan bersama.

Isu halangan terhadap kakitangan kerajaan daripada terlibat dalam politik bermula dalam negara kita ketika Dato Onn Jaafar yang menjadi Menteri Besar Johor dalam masa yang sama mahu menubuhkan UMNO dan terlibat secara aktif dalam politik. Maka berlakunya konflik kepentingan antara British dan Dato Onn. Dato Onn mahu terlibat dalam UMNO untuk menjaga kepentingan orang Melayu. Dato Onn tidak mahu orang Melayu terus dijajah. British pula tidak senang dengan tindakan Dato Onn yang selalu berselisih pendapat dengan mereka. Akhirnya British memutuskan kakitangan kerajaan tidak boleh terlibat dalam politik. Dato Onn telah melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar Johor dan kemudian terlibat secara aktif dalam politik UMNO.

Langkah membenarkan guru berpolitik bukan perkara baru tetapi diberi nafas baru. Sejarah guru dengan politik bukan perkara asing. Pejuang-pejuang kemerdekaan dan penentang Malayan Union terdiri dari golongan guru yang lulus dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) yang dulunya dikenali Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim. Kalau disebut siapa pemimpin dari lulusan maktab ini, sesungguhnya majoriti adalah dari sini. Mereka berjuang dan menyinsing lengan mengangkat sepanduk zaman Malayan Union dan bermain dengan tinta meniup semangat kemerdekaan dalam kalangan rakyat dan cukuplah golongan ini dihalang dari menjadi seorang ahli parti politik yang hakiki.

Namun begitu, perkembangan yang semakin pesat dalam sektor pendidikan dan harapan rakyat yang mulai berubah telah menyebabkan kerajaan membuat keputusan untuk menyekat semua kakitangan kumpulan A termasuk guru daripada bergiat aktif dalam mana-mana parti politik. Sejajar dengan itu, Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 diperkenalkan. Ia berlaku 17 tahun lalu dan sejak itu, kelompok guru mula dikesampingkan dalam arena politik perdana. Mereka hanya dibenarkan menjadi ahli biasa parti sahaja walaupun mereka mempunyai kapasiti intelektual dan pengaruh tulen terhadap masyarakat. Sedikit demi sedikit, mereka menjadi tawar hati untuk membantu parti politik sama ada pembangkang ataupun kerajaan yang mana mereka akhirnya mengambil pendekatan menjadi pemimpin senyap dalam masyarakat. Mereka memimpin masyarakat setempat sama ada di taman-taman perumahan, di kampung-kampung, di kejiranan bandar, pinggir bandar dan seumpamanya.

 Kerajaan telah membuat pindaan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 bagi membolehkan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (guru-guru) Gred DG41 hingga DG 48 untuk bergiat aktif dalam politik mulai 1 Ogos 2010. Ini bermakna bahawa 190,000 guru siswazah seluruh negara diberi kebenaran bertanding, dilantik atau memegang jawatan dalam mana-mana parti politik. Pengumuman ini telah dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd. Sidek Hassan. Pindaan ini dibuat bertujuan untuk mengembalikan tugas yang pernah diamanahkan kepada guru-guru seperti pada zaman awal kemerdekaan dahulu. Allahyarham Tun Ghafar Baba dan rakan seangkatan dengannya telah berperanan secara berkesan dalam politik tanah air selepas kemerdekaan. Timbul beberapa isu baru apabila kerajaan membenarkan guru kembali berkecimpung dalam bidang politik yang akan dibincangkan dalam ulasan seterusnya.


4.0.        ISU GURU BERPOLITIK

Politik adalah subjektif, ada melihatnya sebagai wadah penyebaran pelbagai maklumat, ada pula sebagai ancaman dan sebagainya. Namun asalkan ia masih berada pada paksi yang bersih, tiada salahnya mengambil tahu atau membabitkan diri. Malangnya tindakan ekstrem, tidak bermoral dan di luar batasan penerimaan masyarakat hingga boleh menggugat keamanan. Itulah yang menjadikan politik dipandang serong hingga hanya membenarkan golongan tertentu saja diberi kebenaran. Biar apapun latar belakang atau ruang pekerjaan, politik perlu dilihat sebagai wadah positif penjanaan kemakmuran negara pada masa depan selain elemen penting dalam pendidikan. Barulah boleh dikatakan semua pihak mampu menikmati apa itu politik.

Isu guru-guru berpolitik di Malaysia bukanlah satu fenomena baru. Malahan ketika kerajaan tidak membenarkan kakitangan kerajaan gred A terlibat dengan politik masih ramai guru-guru sekolah yang terlibat dalam politik. Cuma penglibatan mereka tidak begitu menonjol kerana tidak mahu dikenakan sebarang akta oleh pihak-pihak tertentu. Suara-suara guru dalam politik langsung tenggelam dan sekiranya ada guru yang terlibat dalam kegiatan politik pasti akan mendapat tentangan hebat daripada pelbagai pihak. Antara cerita yang kerap didengar sekiranya guru terlibat dalam politik adalah berkaitan dengan tanggungjawabnya di sekolah, pengurusan masa guru dan guru menjadikan sekolah sebagai medan untuk berkempen menyokong partinya.



4.1.        Isu Kerjaya Sambilan

Kerja sambilan merujuk kepada kerja sementara yang dilakukan oleh seorang individu untuk menambahkan sumber pendapatan. Dalam konteks pendidikan, guru sering dikaitkan dengan kerjaya-kerjaya sambilan seperti mengajar di kelas-kelas tuisyen, menjadi penceramah dalam sebarang kursus atau seminar, berniaga di pasar malam  dan sebagainya. Kerja sambilan biasanya dilakukan setelah tamat waktu rasmi persekolahan. Keadaan ini sudah pasti memerlukan tenaga kerja yang maksimum dan akhirnya guru berkenaan akan menerima kesan dan akibatnya.  Kesan yang paling utama adalah perancangan pengajaran dan pembelajaran tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. Hal ini terjadi kerana kebanyakan guru-guru hari ni menjadikan kerja sampingan sebagai kerja utama dan murid menjadi mangsa apabila guru mengajar dengan sambil lewa.

Kementerian Pelajaran Malaysia memandang serius isu ini dan telah mengeluarkan Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 1 1999 mengenai penglibatan pegawai dan kakitangan di bawah KPM dalam pekerjaan luar.  Menerusi surat tersebut, dinyatakan bahawa, ketua jabatan telah diberi kuasa untuk meluluskan pemohonan dan membuat pemantauan ke atas mereka yang berkenaan.

Sejak kebelakangan ini banyak aduan yang diterima dan dibangkitkan sama ada di media cetak dan media elektronik mengenai salah laku pegawai yang terlibat sebagai guru tuisyen mahupun tenaga pengajar sambilan sama ada mereka telah diberi kebenaran atau tidak telah didapati tidak mengutamakan tanggungjawab ke atas tugas hakiki yang disandang malahan ada yang mengambil kesempatan menjadikan sekolah sebagai medan untuk berniaga dan mempromosikan khidmat tuisyen untuk kepentingan peribadi. Disebabkan hal-hal sebegini profesion keguruan terus dipandang rendah oleh masyarakat.  Dalam hal guru dibenarkan terlibat dalam politik pula lebih ramai pihak yang tampil mengemukakan pendapat dan masing-masing mempunyai alasan tersendiri mengapa guru perlu dan tidak perlu untuk terlibat dalam politik.

Apabila guru siswazah dibenarkan untuk terlibat di dalam kancah politik, secara tidak langsung guru ini akan mempunyai dua kerjaya dalam satu masa. Sekiranya  Seseorang guru itu ingin untuk terlibat dalam mana-mana pertubuhan politik guri itu  perlu bijak untuk menyeimbangkan kariernya sebagai seorang guru dan orang penting dalam pertubuhan politik yang disertai.  Sekiranya guru terlibat dalam politik kegusaran yang timbul oleh masyarakat adalah berkaitan dengan memanipulasikan tugas. Kebimbangan yang timbul adalah guru akan menghabiskan masa dengan berpolitik, menggunakan ruang kelas sebagai medan menitipkan ideologi politik, menggunakan sekolah sebagai kebuk politik dan seumpamanya.

Dalam hal ini, warga guru yang diberikan kebenaran khas oleh Ketua Pengarah Pelajaran untuk memegang jawatan politik perlu akur dan faham akan diri mereka yang sebenar iaitu sebagai penjawat awam. Mereka perlu jelas dan faham peranan mereka sebagai pendidik dan ahli politik berjawatan parti. Maknanya di sini, sebaik sahaja mereka melangkah kaki ke dalam kawasan sekolah, maka buku politik perlulah ditutup dan fokus kembali semula kepada pengajaran dan pembelajaran. Maknanya juga, guru terbabit perlu mempunyai keupayaan menjalankan dua tugas dan tanggungjawab dalam kerangka masa, tempat dan matlamat yang berbeza. Satu untuk mendidik dan melahirkan generasi Malaysia yang berjaya dalam hidup dan kedua adalah untuk berbakti kepada rakyat melalui mekanisme politik.

Kegagalan untuk membuat keseimbangan dalam tugas sebagaimana yang diperjelaskan akan menatijahkan huru-hara di dalam sistem persekolahan. Mungkin akan berlaku pertindihan tugas dan keutamaan dalam menjalankan tugas yang mana akhirnya yang menjadi mangsa adalah anak-anak yang ke sekolah dengan niat suci untuk mencari ilmu. Dalam hal ini, pihak Kementerian Pelajaran perlu mengambil langkah-langkah yang bersifat lebih tegas dalam merungkai makna di sebalik perubahan yang membenarkan guru A berpolitik. Satu perincian yang jelas mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh guru yang ingin memegang jawatan politik secara aktif perlu disiarkan kepada warga melalui pekeliling ikhtisas dan seumpamanya.

Seperti yang termaktub dalam kehendak peraturan 5, Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Tujuan surat Pekeliling Perkhidmatan itu adalah untuk memberi garis panduan yang terperinci mengenai pengendalian dan syarat-syarat khusus kepada pekerjaan luar bagi anggota KPM. Peraturan ini antaranya bertujuan mengawal pembabitan guru supaya tidak menjejaskan tugasan selain menjejaskan pencapaian pelajar di sekolah. Antara perkara yang perlu diberi perhatian apabila guru terlibat dalam politik termasuklah :

4.1.1.   Tidak melakukan dalam waktu pejabat dan pada ketika anda dikehendaki menjalankan tugas rasmi.

4.1.2.   Tidak dengan apa caramenjejaskan kegunaan anda sebagai penjawat awam.

4.1.3.   Tidak dengan apa-apa cara bercanggah dengan kepentingan jabatan atau menjadi tidak sejajar dengan kedudukan sebagai pegawai awam.

Biar apapun peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan, guru harus memberi petimbangan sewajarnya agar tugas yang diberikan sebagai guru sekolah diutamakan terlebih dahulu barulah karier kedua sebagai ahli politik.

4.2.        Kesan Guru Berpolitik Kepada Pendidikan Negara

Apabila guru terlibat dalam politik akan timbul beberapa isu baru dalam pendidikan di Malaysia.  Terdapat pro dan kontra apabila guru siswazah DG 41 dibenarkan berpolitik. 

4.2.1.   Dari sudut positif

Pembabitan guru siswazah dijangka mengubah senario politik negara apabila guru tiada halangan lagi untuk aktif dalam politik yang sangat penting menentukan hala tuju kemajuan negara. Hal ini kerana, kalangan guru merupakan kelompok manusia yang ada di mana-mana sahaja dalam komuniti masyarakat yang sentiasa berkhidmat dan menyumbang bakti secara ikhlas dan terarah untuk tujuan kebaikan. Golongan itu secara tidak langsung membantu kerajaan kerana mereka mudah didampingi oleh semua golongan.

Kebenaran guru berijazah aktif dalam politik juga merupakan satu peluang terbaik kepada kelompok ini mengambil bahagian melontar idea bernas sesuatu dasar negara untuk kebaikan rakyat, agama dan negara. Ia bakal memberikan suntikan kepimpinan intelektual kepada parti politik. Ia diakui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri bahawa kemasukan golongan ini ke dalam parti-parti politik boleh memperkuatkan satu-satu pertubuhan parti dari segi daya kepimpinan.

Guru-guru yang menyertai parti politik bakal menjadi faktor pengimbang antara hakikat sebuah kemerdekaan dan realiti semasa yang masih dalam peringkat percubaan. Tiada pihak yang lebih sesuai selain dari guru untuk menerangkan mengapa kita menjadi negara yang masyarakatnya majmuk, mengapa negara ini aman sedangkan perbezaan setiap bangsa dan etnik begitu ketara dan mengapa anak-anak Melayu perlu memahami kepentingan mengundi dan apa itu sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.  Justeru, perlu bagi seseorang guru itu diberi pleuang untuk melibatkan diri dalam politik negara tidak kira sama ada kerajaan atau parti pembangkang.

4.2.2.   Dari Sudut Negatif

Guru akan menjadi lebih berpengaruh kerana kuasa politiknya yang mampu mempengaruhi Pegawai Pelajaran Daerah. Tidak wujud lagi rasa hormat kepada pegawai atasan di sekolah oleh sebab guru yang berjawatan dalam politik lebih besar pengaruhnya dalam masyarakat. Malahan berkemungkinan besar, masyarakat sekitar tidak mengenali guru berkenaan sebagai guru sebaliknya sebagai wakil rakyat ataupun orang kuat parti politik dan lebih mengharigai guru berkenaan berbanding guru besar atau guru penolong kanan sekolah berkenaan. Hal ini akan menjatuhkan kredibiliti guru yang lebih tinggi jawatatannya di sekolah.

Sekiranya guru berpolitik akan berlakulah ketidakseimbangan konsep belajar dan mengajar di dalam sistem pendidikan negara. Hal ini terjadi kerana guru yang dibenar politik bercita-cita tinggi dalam politik maka isu prestasi sekolah sudah tidak menjadi agenda penting dalam dirinya. Maka akan terjadilah masalah anak murid diabaikan kerana guru lebih mengutamakan hal-hal politik setempat.

5.0.        RUMUSAN

Secara keseluruhannya, guru yang terlibat dalam politik sebenarnya lebih banyak mendatangkan kebaikan untuk bangsa, agama dan negara. Hal ini kerana guru merupakan antara insan yang paling rapat dengan masyarakat.  Apabila guru berkecimpung dalam kancah politik negara, sesuatu yang amat menarik adalah keupayaan guru mempengaruhi masyarakat walaupun tidak berduit tetapi hebat seperti generasi guru zaman pra dan awal merdeka dahulu. Kuasa rujuk yang dimiliki oleh para pendidik sukar digugat oleh kelompok lain termasuklah kelompok korporat dan seumpamanya. Semuanya kerana gelaran guru. Faktor ini menajdi punca mengapa kerajaan membenarkan kembali guru-guru bersiswazah terlibat dalam politik.

Kegusaran rakyat Malaysia timbul apabila merasakan guru yang terlibat dalam politik akan mengabaikan tugas hakikinya sebagai guru. Sedangkan hakikatnya daripada 140 000 orang guru siswazah di Malaysia hanya 20 peratus sahaja yang mungkin akan terlibat dalam politik. Hal ini sebenarnya tidak menjejaskan langsung bidang pendidikan negara. Kerajaan perlu memainkan peranan dalam melaksanakan undang-undang berkaitan. Hal ini bagi memastikan guru yang terlibat dalam politik tidak mengabaikan tanggungjawab utamanya untuk mendidik anak bangsa.

Guru sepatutnya mengajar murid bagaimana hendak belajar dan apabila tiba waktu berpolitik biarlah ia terhad kepada cerita politik yang positif. Biarkan guru berpolitik kerana sudah sampai masanya orang politik yang jahil akan sejarah Negara dan Perlembagaan diajar oleh guru. Justeru, menerusi penglibatan guru-guru dalam politik diharapkan menjadi wadah untuk generasi akan datang lebih menghargai peranan guru sebagai pendidik.

No comments:

Post a Comment