Sunday 2 September 2012

isu kepedulian guru


1.0 Pengenalan

Profesion perguruan merupakan profesion yang tidak ditelan zaman dan kini kehebatannya telah diperakui ramai. Semenjak tahun 1960-an sehingga kini profesion perguruan menjadi rebutan besar para lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Menurut Kamus Dewan (1996), guru bermaksud orang yang mengajar, pendidik, pengajar, dan pengasuh. Guru bertanggungjawab sebagai kaunselor,pengadil, polis, hakim, pelakon, kerani, jururawat, pensyarah, penulis, setiausaha, pekerja sosial dan lain-lain. Guru-guru perlu cekap memberikan kebebasan kepada pelajar dalam menggunakan kebolehan mereka. Kecekapan guru juga merangkumi kebolehan berkomunikasi dengan orang lain, membawa idea-idea baru, membuat keputusan, sentiasa membuat kajian dan berupaya mewujudkan iklim pembelajaran yang kondusif. Guru adalah model yang menjadi contoh kepada para pelajar. Guru bertanggujawab membina hubungan dengan setiap pelajar dan memandang mereka sebagai individu yang unik.
Seseorang guru itu haruslah mempunyai etika-etika yang harus dipatuhi supaya profesion keguruan ini akan disanjung sehingga akhir zaman. Menurut Mustafa Haji Daud dalam Pengrusan Islam 1994, menggunakan perkataan yang paling ringkas, sarjana pengurusan mendefinisikan etika sebagai sains moral dan prinsip-prinsip moral. Etika akan menentukan sesuatu tindakan seseorang itu baik atau sebaliknya. Etika dalam erti kata lain ialah mematuhi nilai moral. Etika merupakan akauntabiliti dan tingkah laku seseorang melalui profesionnya terhadap masyarakat. Sebenarnya, guru berhadapan dengan cabaran yang sangat besar dan menghadapi cabaran ini dengan profesional. Kegagalan guru untuk mengatasi masalah dengan sewajarnya akan memberikan impak yang negative kepada profesion keguruan.
Masyarakat meletakkan harapan tinggi kepada guru dan tumpuan sepenuhnya perlu diberikan terhadap tanggungjawab yang perlu digalas dalam bidang kurikulum, kokurikulum juga pembinaan sahsiah anak didik. Guru adalah selaku agen perubahan perlu memainkan peranan berkesan dengan cara sentiasa meningkatkan tahap profesionalisme masing-masing. Ibu bapa, guru-guru dan masyarakat amat bergantung harap sepenuhnya kepada guru supaya dapat membentuk dan mendidik anak-anak mereka menjadi insan yang berguna. Kepercayaan teguh yang diberikan oleh masyarakat kepada guru-guru haruslah dijadikan sebagai pembakar semangat supaya guru-guru dapat menjalankan tugas dengan lebih cekap dan efisyen.
Kita sering mendengar kini isu-isu dan masalah keguruan yang hangat diperkatakan kini. Hal ini secara tidak langsung akan membawa kesan buruk terhadap profesion keguruan. Kes-kes seperti ‘guru menampar murid’, ‘murid didera guru sehingga mati’, ‘guru mengambil rasuah’, ‘sikap guru yang kurang ajar’, sering dibincangkan melalui media massa. Oleh itu, guru sebagai insan terlatih perlulah bijak perlulah bijak dalam menangani masalah dan isu yang dihadapi mereka sewaktu di sekolah supaya kes-kes seperti tadi tidak akan berulang lagi dan menjatuhka nama profesion keguruan.

  

2.0 Sinopsis isu

Guru belasah murid hingga mati jenayah serius: TPM


Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, murid tahun satu sebuah sekolah agama persendirian di Arau, dekat sini, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, pagi semalam, selepas koma sejak tiga hari lalu akibat parah dibelasah gurunya.

Mangsa dipukul dengan teruk kerana didakwa mencuri wang milik rakan sekelasnya. Saiful Syazani dibelasah dengan kejam oleh gurunya yang juga warden asrama dalam keadaan kedua-dua tangannya terikat pada tingkap asrama sehingga menyebabkan mangsa koma. Mangsa dikatakan berjaya membuka ikatan tangannya untuk melarikan diri sehingga menimbulkan kemarahan guru terbabit yang kemudian memukulnya tanpa belas kasihan.  Selepas memukul kepala, suspek dikatakan menggoncang badan mangsa serta menolaknya dengan kuat ke dinding yang dipercayai punca utama murid itu mengalami pendarahan dalam kepala dan komplikasi jantung.

Guru terbabit menyerah diri di Balai Polis Arau, Jumaat lalu, selepas bapa mangsa, Saiful Sopfidee Marzuki, 34, membuat laporan di Balai Polis Alor Setar, pada jam 8 malam hari kejadian. Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain, ketika mengesahkan perkara itu berkata, murid terbabit disahkan meninggal dunia dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang boleh membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Bapa mangsa, Saiful Sopfidee berharap guru terbabit dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang kerana perbuatannya yang tidak berperikemanusiaan itu.

Sumber: Berita Harian  (4/4/2011)

3.0 Analisis isu
3.1 Pandangan orang lain
Seseorang guru tidak boleh lari daripada menghadapi masalah dalam kehidupannya. Bagaimanapun guru seboleh-bolehnya perlu mengelakkan diri daripada membawa masalah peribadi semasa mengajar di dalam kelas. Emosi guru perlu sentiasa dalam keadaan tenang, stabil, bersyukur dan sederhana semasa mengajar. Guru yang sentiasa berkeadaan tenang pasti mudah didekati pelajar. Pendekatan yang digunakan oleh guru semasa mengendalikan pelajar-pelajar yang bermasalah berdisiplin mestilah tegas tetapi tanpa emosi. Guru perlu bersifat sabar, bertimbang rasa, tidak menghukum pelajar dengan hukuman terlalu berat, menghukum mereka tanpa usul periksa dan lebih banyak memberi ganjaran daripada mengenakan hukuman.
Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kes murid sekolah agama dibelasah guru sehingga mati adalah jenayah serius dan perbuatan yang tidak boleh dimaafkan. Kes mendera sehingga maut pelajar kecil adalah satu tindakan jenayah dan pihak berkuasa perlu menyiasatnya. Kekecewaan beliau telah diutarakan dalam akhbar Berita Harian bertarikh 6 April 2011.
"Sebagai Menteri Pelajaran saya memandang berat sama ada sekolah itu dalam sistem pendidikan atau di luar. Kes mendera sehingga maut pelajar kecil satu tindakan jenayah dan pihak berkuasa harus menyiasat kenapa hal seperti ini berlaku sehingga membawa ajal. Bila ibu bapa menyerahkan anak mereka kepada pihak sekolah, ia menjadi tanggungjawab guru dan sekolah kena memberi perhatian tentang keselamatan mereka, (bukannya mendera mereka) apalagi dilakukan oleh guru yang sepatutnya bertanggungjawab mendidik anak-anak,” kata Tun Sri Muhyiddin Yassin kepada Utusan Malaysia.
Kebanyakan daripada pandangan yang diterima daripada orang ramai menyatakan bahawa mereka marah, kesal dan kecewa dengan tindakan seorang insan yang bergelar guru. Sehinggakan ada di antara sesetengah ‘blogger’ menyifatkan bahawa guru ini sebagai syaitan.
Tambahan pula, menurut  Datuk Ismail Abdul Muttalib (BN-Maran) tindakan seorang guru yang membelasah mangsa sehingga mati tidak boleh diterima atau dimaafkan oleh segenap lapisan masyarakat kerana tugas guru adalah mendidik, bukannya mendera anak murid sendiri. Baginya lagi walau apa pun kesalahan murid tersebut, tindakan guru berkenaan adalah tidak berperikemanusiaan kerana mangsa hanya berumur tujuh tahun, apatah lagi sekolah tersebut adalah sekolah agama. Menurut Datuk Ismail lagi kejadian ini semakin menghakis kepercayaan ibu bapa terhadap guru, apatah lagi mangsa anak yatim yang sepatutnya dibela dan dididik dengan penuh kasih sayang bukannya didera sehingga membawa maut



3.2 Pandangan penulis

Saya mengakui hakikatnya bahawa kejadian di Perlis itu juga berpunca daripada sikap guru atau warden yang gagal mengawal perasaan marahnya. Ia juga dapat menjadi pengajaran dan peringatan kepada semua pihak termasuk guru dan ibu bapa agar tidak menggunakan ‘kuasa’ mereka selaku orang dewasa dengan mudah melakukan kekerasan ke atas kanak-kanak mengikut nafsu kemarahan dalam menangani sesuatu perkara. Anak kecil adalah fitrah dan tanggungjawab memberikan kasih sayang dan dilindungi bukannya dianiaya atau didera. Adalah menjadi harapan kita agar kejadian yang menimpa kanak-kanak tidak berdosa ini tidak berulang.

Murid adalah amanah ibu bapa kepada guru untuk diasuh dan dididik menjadi insan yang seimbang dari segala aspek kehidupan. Melalui kes guru membelasah murid sampai mati adalah salah satu kesalahan disiplin yang dilakukan oleh seorang pendidik yang secara tidak langsung telah mencemarkan imej profesion keguruan di mata masyarakat. Etika perguruan adalah sangat penting dan perlu diamalkan oleh setiap guru yang mahu mendidik anak-anak murid. Secara umumnya terdapat beberapa prinsip yang perlu dipatuhi untuk menjayakan Etika Perguruan. Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia perlu dilaksanakan dan dihayati berdasarkan prinsip-prinsip berikut:
i.              Niat yang betul
ii.            Perlakuan yang baik
iii.           Penggerak kearah kebaikan
iv.           Memperkotakan apa yang dikatakan
v.            Bedisiplin dan beradab
vi.           Menghargai dan bertanggungjawab hasil usaha organisasi.

Berpandukan kod etika profesion pergururan, guru akan dapat menjalankan tugas yang diamanahkan mengikut panduan yang menjadi pegangan setiap warga KPM berdasarkan nilai-nilai dan akhlak yang mulia. Saya berpendapat bahawa guru yang membelasah murid sehingga mati ini tidak mengalamalkan kod etika yang telah digariskan ini. Hasilnya,murid yang tidak bersalah menjadi mangsa kepada sikap guru yang tidak dapat dikawal.

Dalam isu dan etika guru juga, kes yang dihadapi ini termasuk dalam isu kepedulian guru di sekolah. Secara ringkasnya, Pendekatan Kepedulian adalah salah satu pendekatan yang dapat digunakan di sekolah. Pendekatan ini dipelopori oleh Noddings (1984). Kepedulian atau dalam istilah lainnya ialah ‘ambil peduli’, ‘mengambil berat’ dan ‘menyayangi’. Apabila kita melihat kepada kes yang berlaku ini, boleh dikatakan bahawa guru ini tidak mempunyai sifat peduli kepada anak muridnya. Guru seharusnya menyiasat terlebih dahulu dan mengambil tahu sebab anak muridnya bersikap demikian. Mungkin juga murid tersebut mengalami masalah kewangan, ataupun kekurangan kasih sayang memandangkan murid tersebut merupakan seorang anak yatim yang telah kehilangan kasih sayang seorang ibu. Namun, tindakan guru agama tersebut yang membelasah murid tersebut sehingga mati membuatkan saya lebih yakin bahawa guru tersebut tidak peka terhadap isu kepedulian yang perlu diamalkan terhadap murid-murid.

Selain itu, guru juga seharusnya mengamalkan pendekatan modeling dalam mendidik murid-murid. Kompenen ini adalah sangat penting dalam menunjukkan bagaimana kita mengambil berat terhadap orang tersayang, iaitu murid kita. Oleh itu, guru perlulah menunjukkan kepada murid bagaimana untuk mengambil berat dan menyayangi mereka dengan cara yang betul dan bukanlah dengan mengasari mereka. Sekalipun mereka melakukan kesalahan, kita perlulah mengambil langkah yang sewajarnya untuk mengatasi masalah tersebut seperti berbincang dan mengadakan sesi kaunseling bersama murid tersebut. Oleh yang demikian, murid akan berasa lebih disayangi kerana sikap guru yang prihatin.

Tambahan pula, walaupun murid Tahun 1 tersebut melakukan kesalahan yang besar iaitu mencuri, seharusnya guru tersebut boleh menunjukkan sikap kepedulian dengan menggunakan cara yang berkesan. Antaranya ialah budaya ‘patience’ iaitu sabar iaitu salah satu elemen yang terdapat dalam Budaya Cut Apple A. Kepedulian guru juga boleh dilakukan dengan meningkatkan tahap kesabaran ketika meghadapi tingkah laku murid yang bermasalah. Pada ketika menghadapi situasi yang sedemikian, guru harus berupaya mendengar dengan tekun, dapat mengawal perasaan marah, belajar menghormati dan menghargai murid mereka. Sikap guru yang memberikan hukuman yang berat kepada murid tersebut juga bukanlah langkah yang bijak supaya murid tersebut berubah sikap menjadi seorang murid yang berdisiplin. Mungkin juga murid tersebut akan menjadi lebih teruk lagi jika ditakdirkan umurnya masih panjang kerana tidak mustahil murid tersebut ingin membalas dendam terhadap kekasaran yang dilakukan oleh guru tersebut terhadap dirinya. Oleh itu, perhatian yang diberikan kepada setiap tingkah laku murid berkenaan, akan menjadikan murid sedar bahawa guru sedang mengambil berat dan memberikan kasih sayang supaya mereka tidak lagi mewujudkan masalah yang tidak diingini.

Melalui akhbar Berita Harian yang bertarikh pada 25 mei 2009 menyatakan guru yang baik perlu mempunyai jati diri supaya boleh mendidik dan menangani masalah pelajar dengan berhemah. Itulah prinsip dipegang penerima anugerah Tokoh Guru Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2009, Rashedah Md Yassin. Minat yang mendalam itulah menyebabkan dia tidak pernah berasa penat atau jemu mendidik anak bangsa walaupun pelbagai masalah dan dugaan datang kerana baginya guru adalah satu kerjaya yang mulia. Dewasa ini kita melihat di samping kerjaya guru ini merupakan salah satu pilihan kebanyakan masyarakat Malaysia, namun masih ada segelintir golongan yang memilih kerjaya ini sebagai jalan pintas untuk mereka mendapatkan pekerjaan sedangkan mereka tiada langsung minat untuk menceburi bidang perguruan ini. Antara faktor yang menyebabkan mereka memasuki bidang ini ialah kerana mempunyai gaji tetap, mempunyai cuti yang panjang, dan elaun yang banyak,  (Straker 1988; Musak Matrak 1993 &1995; dan Subramaniam 1995). Golongan ini hanya menginginkan faktor-faktor yang saya nyatakan di atas dan mereka seharusnya mempunyai jati diri dan sanggup berkorban untuk murid mereka bagi mendidik murid menjadi masyarakat berguna. Misalnya di Malaysia, didapati kerjaya perguruan lebih diminati di kalangan mereka yang tidak berijazah (Abd. Rahim 1995). Mereka memilih kerjaya perguruan kerana status, dipandang mulia oleh masyarakat, gaji dan masa depan serta menyumbang kepada bangsa. Selanjutnya, kajian Mohd. Sahandri (1996) pula mendapati ahli keluarga, rakan-rakan dan saudara mara merupakan faktor yang mempengaruhi pemilihan kerjaya perguruan. Dapatan yang hampir sama juga didapati dalam kajian Muhamad Sani et al. (2002) di mana dorongan ibu bapa adalah faktor utama pemilihan calon memilih kerjaya perguruan.Jika kita lihat di sini, tidak ramai di antara kita yang memilih profesion ini kerana minat yang mendalam dan hal ini secara tidak langsung telah menyumbangkan kepada masalah-masalah yang sering ditimbulkan oleh guru-guru.

Kemahiran ‘understanding’ akan membantu guru lebih mengambil sikap kepedulian terhadap murid sekiranya guru telah berjaya mengusai kemahiran ‘caring’. Dengan memahami maksud apa yang diucapkan atau dialami murid, sudah pasti guru akan dapat merasai perasaan dan pengalaman murid tersebut. Kepedulian guru terhadap murid akan membolehkan guru mengelak dari membebel, menilai dan menghukum murid sesuka hati mereka.


4.0 Kesimpulan

Berdasarkan kepada huraian yang telah diberikan tadi, dapatlah dirumuskan bahawa tugas guru adalah satu tugasan yang mencabar dan setiap daripada cabaran itu haruslah diatasi dengan sebaiknya. Guru sentiasa menjadi sasaran perhatian segenap kelompok masyarakat kerana peranan dalam pembentukan masyarakat. Ketidakupayaan guru menunjuk model dan teladan yang baik akan menjadi batu penghalang ke arah pembentukan pelajar yang baik. Bahkan ia merupakan titik cemar dalam keperibadian guru berkenaan.

Tidak diragukan lagi bahawa guru yang mempunyai keperibadian yang baik akan meninggalkan kesan yang positif dalam diri anak didik mereka. Alat teknologi moden walau bagaimana canggih sekalipun tidak dapat mengambil peranan guru. Faktor manusia tetap diperlukan dalam proses pembentukan dan pematangan sahsiah murid. Sebab itu banyak kajian dibuat tentang sifat-sifat yang perlu ada pada seorang guru yang baik dan berkesan dalam diri mereka.

Oleh itu, sembilan cabaran yang dikemukakan dalam Wawasan 2020, kebanyakannya mempunyai persamaan dari segi tindakan, orientasi dan matlamat dengan idea-idea yang diutarakan dalam cabaran ketujuh iaitu mencapai matlamat wawasan negara bagi menghasilkan modal insan yang dihasratkan oleh Y.A.B Mantan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi. Bagi mencapainya, negara memerlukan generasi guru yang benar-benar berwibawa kerana keberkesanan peranan guru pada masa ini akan mempengaruhi kualiti manusia yang akan mewarisi negara ini pada tahun 2020 dan sekali gus menentukan wajah acuan sendiri generasi Malaysia. diharapkan guru berusaha dengan cemerlang dalam mendidik anak-anak yang bakal menyambung sejarah tamadun bangsa pada masa akan datang. Merekalah anak-anak harapan yang akan mengukuhkan kedudukan bangsa dalam arena pertembungan kebudayaan dan pemikiran dengan bangsa-bangsa lain.




BIBLIOGRAFI
1.       Guru Dedikasi Tidak Mendera Murid. (19 Okt. 1996). MASSA
2.       Kamarrudin Jusoh (5 April 1997). Keluhan Bekas Guru Disiplin. MASSA.
3.       Mohd. Yusman Awang, Kharunnisa Sulaiman (19 Okt. 1996). Deraan Guru Makin Mengancam. MASSA.
4.       Mok Soon Sang (1988). Pendidikan Di Malaysia. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd., Kuala Lumpur
5.       Nur Aishah Ismail (18 Mei 1996). Kerjaya Perguruan Harus Seiring Dengan Minat. MASSA.
6.       Rusil (Jan 1997). Dilema Guru: Disiplin Atau Dera. Dewan Masyarakat.
7.      Berita Harian (4/4/2011)  Guru belasah murid hingga mati jenayah serius: TPM
8.     Syed Ismail bin Syed Mustapa, Ahmad Subki bin Miskon (2010) Asas Kepimpinan & Perkembangan Profesional. Penerbitan Multimedia Sdn Bhd.





Isu Kerjaya Sambilan


1.0.        PENGENALAN

Dalam era globalisasi ini kerjaya guru dilihat sebagai satu profesion yang amat mencabar. Pelbagai desas-desus dari media masa sibuk mengembar-gemburkan isu-isu berkaitan dengan guru terutamanya yang melibatkan tingkah laku guru di sekolah. Walau bagaimanapun tugas guru tetap dianggap satu kerjaya yang mulia dan wajar dihormati. Cuma sikap segelintir individu yang suka memandang rendah terhadap profesion ini menyebabkan kerjaya ini dianggap bukan bidang profesional.

Isu-isu seperti guru merotan murid, guru mencabuk murid, guru ponteng, guru berniaga di sekolah dan banyak lagi isu menjadi punca kerjaya ini semakin dipandang rendah. Tambahan pula, pelajar hari ini tidak lagi mepunyai rasa hormat kepada guru kerana menganggap ibu bapa mereka lebih berada daripada guru. Dalam dunia pendidikan hari ini, guru tidak lagi dianggap sebagai seorang pendidik yang mendidik anak bangsa untuk membentuk generasi yang berakhlak. Sebaliknya, guru hanya dianggap tidak ubah seperti orang yang bekerja untuk wang semata-mata. Walhal, guru dalam era globalisasi ini menerima pelbagai cabaran daripada masyarakat terutamanya ancaman-ancaman berbentuk saman, peras ugut, rasuah dan sebagainya. Oleh itu, guru perlu bijak menangani dan menghadapi setiap cabaran ini.

Memandangkan isu guru semakin serius diketengahkan oleh pihak-pihak yang mencemburui profesion ini. Pelbagai pihak patut tampil untuk bersuara terutamanya bagi memastikan kerjaya ini tidak lagi dipandang rendah oleh orang lain. Jangan kerana setitik nila rosak susu sebelanga. Kupasan mengenai isu guru berpolitik sedikit sebanyak akan memberi gambaran mengenai baik dan buruk perkara ini. Diharap melalui kupasan ini, akan memberi pencerahan mengenai isu guru-guru yang terlibat dengan politik.

2.0.        ULASAN ARTIKEL ‘GURU BERPOLITIK, ANTARA AMANAH DAN MASALAH’

Berdasarkan artikel yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia Online pada bulan Ogos 2010 ini menceritakan mengenai realiti yang akan diterima apabila guru siswazah dibenarkan berpolitik. Ramai pihak tampil untuk memberikan pendapat mereka apabila kerajaan membenarkan guru-guru berpolitik. Sedangkan hakikat guru merupakan antara individu yang paling berpengaruh dalam kehidupan masyarakat hari ini. Hal ini mungkin disebabkan guru merupakan insan yang paling rapat dengan masyarakat kerana kehadiran mereka sering disenangi oleh penduduk setempat.

Penulis artikel ini memberi gambaran sebenar senario guru-guru berpolitik pada hari ini sebelum kerajaan Malaysia membenarkan guru siswazah berpolitik pada Ogos 2010. Beliau mengetengahkan isu-isu yang bakal terjadi sekiranya guru-guru berpolitik. Termasuklah parti yang akan dipilih guru sekiranya mereka dibenarkan bergiat aktif dalam politik. Beliau juga telah menjalankan temuramah ke atas beberapa penolong kanan di beberapa buah sekolah menengah di Kedah. Kebanyakan daripada guru-guru ini memberi maklum balas positif sekiranya guru dibenarkan berpolitik.

Penulis juga, memberi gambaran mengenai andaian dan tafsiran pelbagai pihak sekiranya guru-guru terlibat dengan politik. Sebilangan daripada pimpinan tertinggi sesetengah parti merasakan kedudukan mereka akan tergugat sekiranya guru diberi peluang untuk bergiat aktif dalam politik. Senario ini memungkin guru akan menerima ancaman besar sekiranya melibatkan diri dalam politik. Tambahan pula, banyak pihak yang akan mengeksploitasi guru untuk meraih sokongan rakyat terhadap parti mereka. Keadaan ini akan mencetuskan satu fenomena baru dalam dunia pendidikan. Maka akan terjadilah situasi guru berpolitik di sekolah dan mewujudkan sentimen-sentimen negatif  dalam dunia pendidikan negara.
Guru-guru hari ini sebenarnya tidak banyak diberi pendedahan mengenai perjalanan pentadbiran kerajaan malahan politik. Hal ini menyebabkan guru-guru cuba mendapatkan maklumat dari ceramah-ceramah pembangkang untuk mengetahui kedududukan sebenar terutamanya dari segi kewangan negara. Keadaan ini terjadi apabila guru merasakan mereka dipergunakan kerajaan untuk tujuan meramaikan majlis-majlis yang dihadiri golongan kenamaan tambahan pula dengan soal peruntukan perbelanjaan sekolah yang banyak dipotong menyebabkan guru-guru semakin tertekan. Jadi tidak hairanlah jika guru-guru hari ini semakin banyak yang berusaha melibatkan diri dalam parti-parti politik bagi untuk mendapatkan perhatian pihak tertentu.

Penulis juga menceritakan bagaimana layanan kerajaan kepada guru hari ini menyebabkan guru-guru lebih memilih untuk menyokong pembangkang. Penulis menyeru kepada pimpinan kerajaan untuk untuk memberi sanjungan kepada guru-guru yang bersusah-payah mendidik anak bangsa untuk menjadi generasi berguna. Hal ini kerana guru merupakan individu yang paling berpengaruh dalan masyarakat. Jasa guru mendidik anak-anak orang kampong sehingga berjaya dalam pelajaran akan menjadi modal tuntutan membalas budi dengan menyokong parti yang diserrai guru berkenaan. Oleh itu, guru seharusnya menggunakan kelebihan ini dengan sebaiknya agar tiada pihak yang menganggap profesion ini merupakan satu batu loncatan untuk berkecimpung dalam arena politik.

Akhir sekali, penulis mengingatkan para guru agr tidak membawa sentimen  politik hingga ke bilik darjah. Guru juga diingatkan agar tidak terlalu ekstrem menyokong mana-mana parti kerana hal ini akan menjejaskan profesion mereka. Guru menerima gaji dan elaun untuk mendidik anak bangsa bukanlah untuk berpolitik semata-mata.  Secara keseluruhannya artikel ini boleh dikaitkan dengan isu kerjaya sambilan dan juga dari segi pengurus masa yang mana melibatkan tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul untuk mendidik anak bangsa perlu diutamakan.
3.0.        SENARIO GURU BERPOLITIK DI MALAYSIA

Pembabitan guru dalam politik bukanlah baru kerana mereka adalah antara barisan hadapan dalam memberi sokongan terhadap perjuangan mencapai kemerdekaan negara. Bagaimanapun sejak 1980-an, guru tidak dibenarkan lagi aktif dengan alasan mereka golongan 'berbahaya' dan berpengaruh yang boleh mencetuskan huru-hara. Dr Ishak Sin, Pensyarah Pendidikan Sastera dan Sains Universiti Utara Malaysia (UUM) dipetik dari laman web PPD Daerah Kubang Pasu berkata pandangan politik yang sempit boleh mengundang padah dan inilah yang cuba dielakkan pihak berkuasa supaya tidak timbul masalah dengan mengenakan beberapa sekatan bagi kebaikan bersama.

Isu halangan terhadap kakitangan kerajaan daripada terlibat dalam politik bermula dalam negara kita ketika Dato Onn Jaafar yang menjadi Menteri Besar Johor dalam masa yang sama mahu menubuhkan UMNO dan terlibat secara aktif dalam politik. Maka berlakunya konflik kepentingan antara British dan Dato Onn. Dato Onn mahu terlibat dalam UMNO untuk menjaga kepentingan orang Melayu. Dato Onn tidak mahu orang Melayu terus dijajah. British pula tidak senang dengan tindakan Dato Onn yang selalu berselisih pendapat dengan mereka. Akhirnya British memutuskan kakitangan kerajaan tidak boleh terlibat dalam politik. Dato Onn telah melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar Johor dan kemudian terlibat secara aktif dalam politik UMNO.

Langkah membenarkan guru berpolitik bukan perkara baru tetapi diberi nafas baru. Sejarah guru dengan politik bukan perkara asing. Pejuang-pejuang kemerdekaan dan penentang Malayan Union terdiri dari golongan guru yang lulus dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) yang dulunya dikenali Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim. Kalau disebut siapa pemimpin dari lulusan maktab ini, sesungguhnya majoriti adalah dari sini. Mereka berjuang dan menyinsing lengan mengangkat sepanduk zaman Malayan Union dan bermain dengan tinta meniup semangat kemerdekaan dalam kalangan rakyat dan cukuplah golongan ini dihalang dari menjadi seorang ahli parti politik yang hakiki.

Namun begitu, perkembangan yang semakin pesat dalam sektor pendidikan dan harapan rakyat yang mulai berubah telah menyebabkan kerajaan membuat keputusan untuk menyekat semua kakitangan kumpulan A termasuk guru daripada bergiat aktif dalam mana-mana parti politik. Sejajar dengan itu, Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 diperkenalkan. Ia berlaku 17 tahun lalu dan sejak itu, kelompok guru mula dikesampingkan dalam arena politik perdana. Mereka hanya dibenarkan menjadi ahli biasa parti sahaja walaupun mereka mempunyai kapasiti intelektual dan pengaruh tulen terhadap masyarakat. Sedikit demi sedikit, mereka menjadi tawar hati untuk membantu parti politik sama ada pembangkang ataupun kerajaan yang mana mereka akhirnya mengambil pendekatan menjadi pemimpin senyap dalam masyarakat. Mereka memimpin masyarakat setempat sama ada di taman-taman perumahan, di kampung-kampung, di kejiranan bandar, pinggir bandar dan seumpamanya.

 Kerajaan telah membuat pindaan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 bagi membolehkan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (guru-guru) Gred DG41 hingga DG 48 untuk bergiat aktif dalam politik mulai 1 Ogos 2010. Ini bermakna bahawa 190,000 guru siswazah seluruh negara diberi kebenaran bertanding, dilantik atau memegang jawatan dalam mana-mana parti politik. Pengumuman ini telah dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd. Sidek Hassan. Pindaan ini dibuat bertujuan untuk mengembalikan tugas yang pernah diamanahkan kepada guru-guru seperti pada zaman awal kemerdekaan dahulu. Allahyarham Tun Ghafar Baba dan rakan seangkatan dengannya telah berperanan secara berkesan dalam politik tanah air selepas kemerdekaan. Timbul beberapa isu baru apabila kerajaan membenarkan guru kembali berkecimpung dalam bidang politik yang akan dibincangkan dalam ulasan seterusnya.


4.0.        ISU GURU BERPOLITIK

Politik adalah subjektif, ada melihatnya sebagai wadah penyebaran pelbagai maklumat, ada pula sebagai ancaman dan sebagainya. Namun asalkan ia masih berada pada paksi yang bersih, tiada salahnya mengambil tahu atau membabitkan diri. Malangnya tindakan ekstrem, tidak bermoral dan di luar batasan penerimaan masyarakat hingga boleh menggugat keamanan. Itulah yang menjadikan politik dipandang serong hingga hanya membenarkan golongan tertentu saja diberi kebenaran. Biar apapun latar belakang atau ruang pekerjaan, politik perlu dilihat sebagai wadah positif penjanaan kemakmuran negara pada masa depan selain elemen penting dalam pendidikan. Barulah boleh dikatakan semua pihak mampu menikmati apa itu politik.

Isu guru-guru berpolitik di Malaysia bukanlah satu fenomena baru. Malahan ketika kerajaan tidak membenarkan kakitangan kerajaan gred A terlibat dengan politik masih ramai guru-guru sekolah yang terlibat dalam politik. Cuma penglibatan mereka tidak begitu menonjol kerana tidak mahu dikenakan sebarang akta oleh pihak-pihak tertentu. Suara-suara guru dalam politik langsung tenggelam dan sekiranya ada guru yang terlibat dalam kegiatan politik pasti akan mendapat tentangan hebat daripada pelbagai pihak. Antara cerita yang kerap didengar sekiranya guru terlibat dalam politik adalah berkaitan dengan tanggungjawabnya di sekolah, pengurusan masa guru dan guru menjadikan sekolah sebagai medan untuk berkempen menyokong partinya.



4.1.        Isu Kerjaya Sambilan

Kerja sambilan merujuk kepada kerja sementara yang dilakukan oleh seorang individu untuk menambahkan sumber pendapatan. Dalam konteks pendidikan, guru sering dikaitkan dengan kerjaya-kerjaya sambilan seperti mengajar di kelas-kelas tuisyen, menjadi penceramah dalam sebarang kursus atau seminar, berniaga di pasar malam  dan sebagainya. Kerja sambilan biasanya dilakukan setelah tamat waktu rasmi persekolahan. Keadaan ini sudah pasti memerlukan tenaga kerja yang maksimum dan akhirnya guru berkenaan akan menerima kesan dan akibatnya.  Kesan yang paling utama adalah perancangan pengajaran dan pembelajaran tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. Hal ini terjadi kerana kebanyakan guru-guru hari ni menjadikan kerja sampingan sebagai kerja utama dan murid menjadi mangsa apabila guru mengajar dengan sambil lewa.

Kementerian Pelajaran Malaysia memandang serius isu ini dan telah mengeluarkan Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 1 1999 mengenai penglibatan pegawai dan kakitangan di bawah KPM dalam pekerjaan luar.  Menerusi surat tersebut, dinyatakan bahawa, ketua jabatan telah diberi kuasa untuk meluluskan pemohonan dan membuat pemantauan ke atas mereka yang berkenaan.

Sejak kebelakangan ini banyak aduan yang diterima dan dibangkitkan sama ada di media cetak dan media elektronik mengenai salah laku pegawai yang terlibat sebagai guru tuisyen mahupun tenaga pengajar sambilan sama ada mereka telah diberi kebenaran atau tidak telah didapati tidak mengutamakan tanggungjawab ke atas tugas hakiki yang disandang malahan ada yang mengambil kesempatan menjadikan sekolah sebagai medan untuk berniaga dan mempromosikan khidmat tuisyen untuk kepentingan peribadi. Disebabkan hal-hal sebegini profesion keguruan terus dipandang rendah oleh masyarakat.  Dalam hal guru dibenarkan terlibat dalam politik pula lebih ramai pihak yang tampil mengemukakan pendapat dan masing-masing mempunyai alasan tersendiri mengapa guru perlu dan tidak perlu untuk terlibat dalam politik.

Apabila guru siswazah dibenarkan untuk terlibat di dalam kancah politik, secara tidak langsung guru ini akan mempunyai dua kerjaya dalam satu masa. Sekiranya  Seseorang guru itu ingin untuk terlibat dalam mana-mana pertubuhan politik guri itu  perlu bijak untuk menyeimbangkan kariernya sebagai seorang guru dan orang penting dalam pertubuhan politik yang disertai.  Sekiranya guru terlibat dalam politik kegusaran yang timbul oleh masyarakat adalah berkaitan dengan memanipulasikan tugas. Kebimbangan yang timbul adalah guru akan menghabiskan masa dengan berpolitik, menggunakan ruang kelas sebagai medan menitipkan ideologi politik, menggunakan sekolah sebagai kebuk politik dan seumpamanya.

Dalam hal ini, warga guru yang diberikan kebenaran khas oleh Ketua Pengarah Pelajaran untuk memegang jawatan politik perlu akur dan faham akan diri mereka yang sebenar iaitu sebagai penjawat awam. Mereka perlu jelas dan faham peranan mereka sebagai pendidik dan ahli politik berjawatan parti. Maknanya di sini, sebaik sahaja mereka melangkah kaki ke dalam kawasan sekolah, maka buku politik perlulah ditutup dan fokus kembali semula kepada pengajaran dan pembelajaran. Maknanya juga, guru terbabit perlu mempunyai keupayaan menjalankan dua tugas dan tanggungjawab dalam kerangka masa, tempat dan matlamat yang berbeza. Satu untuk mendidik dan melahirkan generasi Malaysia yang berjaya dalam hidup dan kedua adalah untuk berbakti kepada rakyat melalui mekanisme politik.

Kegagalan untuk membuat keseimbangan dalam tugas sebagaimana yang diperjelaskan akan menatijahkan huru-hara di dalam sistem persekolahan. Mungkin akan berlaku pertindihan tugas dan keutamaan dalam menjalankan tugas yang mana akhirnya yang menjadi mangsa adalah anak-anak yang ke sekolah dengan niat suci untuk mencari ilmu. Dalam hal ini, pihak Kementerian Pelajaran perlu mengambil langkah-langkah yang bersifat lebih tegas dalam merungkai makna di sebalik perubahan yang membenarkan guru A berpolitik. Satu perincian yang jelas mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh guru yang ingin memegang jawatan politik secara aktif perlu disiarkan kepada warga melalui pekeliling ikhtisas dan seumpamanya.

Seperti yang termaktub dalam kehendak peraturan 5, Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Tujuan surat Pekeliling Perkhidmatan itu adalah untuk memberi garis panduan yang terperinci mengenai pengendalian dan syarat-syarat khusus kepada pekerjaan luar bagi anggota KPM. Peraturan ini antaranya bertujuan mengawal pembabitan guru supaya tidak menjejaskan tugasan selain menjejaskan pencapaian pelajar di sekolah. Antara perkara yang perlu diberi perhatian apabila guru terlibat dalam politik termasuklah :

4.1.1.   Tidak melakukan dalam waktu pejabat dan pada ketika anda dikehendaki menjalankan tugas rasmi.

4.1.2.   Tidak dengan apa caramenjejaskan kegunaan anda sebagai penjawat awam.

4.1.3.   Tidak dengan apa-apa cara bercanggah dengan kepentingan jabatan atau menjadi tidak sejajar dengan kedudukan sebagai pegawai awam.

Biar apapun peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan, guru harus memberi petimbangan sewajarnya agar tugas yang diberikan sebagai guru sekolah diutamakan terlebih dahulu barulah karier kedua sebagai ahli politik.

4.2.        Kesan Guru Berpolitik Kepada Pendidikan Negara

Apabila guru terlibat dalam politik akan timbul beberapa isu baru dalam pendidikan di Malaysia.  Terdapat pro dan kontra apabila guru siswazah DG 41 dibenarkan berpolitik. 

4.2.1.   Dari sudut positif

Pembabitan guru siswazah dijangka mengubah senario politik negara apabila guru tiada halangan lagi untuk aktif dalam politik yang sangat penting menentukan hala tuju kemajuan negara. Hal ini kerana, kalangan guru merupakan kelompok manusia yang ada di mana-mana sahaja dalam komuniti masyarakat yang sentiasa berkhidmat dan menyumbang bakti secara ikhlas dan terarah untuk tujuan kebaikan. Golongan itu secara tidak langsung membantu kerajaan kerana mereka mudah didampingi oleh semua golongan.

Kebenaran guru berijazah aktif dalam politik juga merupakan satu peluang terbaik kepada kelompok ini mengambil bahagian melontar idea bernas sesuatu dasar negara untuk kebaikan rakyat, agama dan negara. Ia bakal memberikan suntikan kepimpinan intelektual kepada parti politik. Ia diakui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri bahawa kemasukan golongan ini ke dalam parti-parti politik boleh memperkuatkan satu-satu pertubuhan parti dari segi daya kepimpinan.

Guru-guru yang menyertai parti politik bakal menjadi faktor pengimbang antara hakikat sebuah kemerdekaan dan realiti semasa yang masih dalam peringkat percubaan. Tiada pihak yang lebih sesuai selain dari guru untuk menerangkan mengapa kita menjadi negara yang masyarakatnya majmuk, mengapa negara ini aman sedangkan perbezaan setiap bangsa dan etnik begitu ketara dan mengapa anak-anak Melayu perlu memahami kepentingan mengundi dan apa itu sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.  Justeru, perlu bagi seseorang guru itu diberi pleuang untuk melibatkan diri dalam politik negara tidak kira sama ada kerajaan atau parti pembangkang.

4.2.2.   Dari Sudut Negatif

Guru akan menjadi lebih berpengaruh kerana kuasa politiknya yang mampu mempengaruhi Pegawai Pelajaran Daerah. Tidak wujud lagi rasa hormat kepada pegawai atasan di sekolah oleh sebab guru yang berjawatan dalam politik lebih besar pengaruhnya dalam masyarakat. Malahan berkemungkinan besar, masyarakat sekitar tidak mengenali guru berkenaan sebagai guru sebaliknya sebagai wakil rakyat ataupun orang kuat parti politik dan lebih mengharigai guru berkenaan berbanding guru besar atau guru penolong kanan sekolah berkenaan. Hal ini akan menjatuhkan kredibiliti guru yang lebih tinggi jawatatannya di sekolah.

Sekiranya guru berpolitik akan berlakulah ketidakseimbangan konsep belajar dan mengajar di dalam sistem pendidikan negara. Hal ini terjadi kerana guru yang dibenar politik bercita-cita tinggi dalam politik maka isu prestasi sekolah sudah tidak menjadi agenda penting dalam dirinya. Maka akan terjadilah masalah anak murid diabaikan kerana guru lebih mengutamakan hal-hal politik setempat.

5.0.        RUMUSAN

Secara keseluruhannya, guru yang terlibat dalam politik sebenarnya lebih banyak mendatangkan kebaikan untuk bangsa, agama dan negara. Hal ini kerana guru merupakan antara insan yang paling rapat dengan masyarakat.  Apabila guru berkecimpung dalam kancah politik negara, sesuatu yang amat menarik adalah keupayaan guru mempengaruhi masyarakat walaupun tidak berduit tetapi hebat seperti generasi guru zaman pra dan awal merdeka dahulu. Kuasa rujuk yang dimiliki oleh para pendidik sukar digugat oleh kelompok lain termasuklah kelompok korporat dan seumpamanya. Semuanya kerana gelaran guru. Faktor ini menajdi punca mengapa kerajaan membenarkan kembali guru-guru bersiswazah terlibat dalam politik.

Kegusaran rakyat Malaysia timbul apabila merasakan guru yang terlibat dalam politik akan mengabaikan tugas hakikinya sebagai guru. Sedangkan hakikatnya daripada 140 000 orang guru siswazah di Malaysia hanya 20 peratus sahaja yang mungkin akan terlibat dalam politik. Hal ini sebenarnya tidak menjejaskan langsung bidang pendidikan negara. Kerajaan perlu memainkan peranan dalam melaksanakan undang-undang berkaitan. Hal ini bagi memastikan guru yang terlibat dalam politik tidak mengabaikan tanggungjawab utamanya untuk mendidik anak bangsa.

Guru sepatutnya mengajar murid bagaimana hendak belajar dan apabila tiba waktu berpolitik biarlah ia terhad kepada cerita politik yang positif. Biarkan guru berpolitik kerana sudah sampai masanya orang politik yang jahil akan sejarah Negara dan Perlembagaan diajar oleh guru. Justeru, menerusi penglibatan guru-guru dalam politik diharapkan menjadi wadah untuk generasi akan datang lebih menghargai peranan guru sebagai pendidik.

Isu Kesantunan Guru


Assalamualaikum dan selamat sejahtera. 
Bila disebut mengenai pendidikan di sekolah, guru adalah individu yang berkait rapat dengan hal tersebut. Guru sering kali dianggap sebagai idola dan contoh terbaik kepada semua murid bahkan masyarakat setempat di sekitar kawasan sekolah. Suatu ketika dulu, masyarakat amat menyanjung dan menghormati insan yang bergelar guru. Masih saya ingat lagi, cerpen-cerpen yang ditulis di dalam buku kompilasi cerpen guru-guru lama. Mereka sering menceritakan bagaimana masyarakat setempat sangat menghargai mereka. Khususnya masyarakat di desa, mereka sering memberikan pisang, ubi, lauk-pauk, kuih-muih dan sebagainya kepada guru yang telah berpenat lelah mengajar anak-anak mereka di sekolah. Namun kini, situasinya jauh berbeza. Dalam era teknologi di hujung jari ini, masyarakat seolah-olah tidak menyedari dan menghargai apa yang telah dilakukan oleh para guru.

Saban hari, terpapar cerita-cerita kurang enak sebagai tajuk utama muka depan akhbar. Guru cabul murid, guru mengedar dadah, guru ditangkap khalwat dan berbagai-bagai lagi cerita mengenai guru dipaparkan. Ibarat kata pepatah, kerana setitik nila, habis susu sebelanga. Guru juga manusia biasa yang diciptakan Allah yang sudah pasti tidak akan lari daripada melakukan kesalahan. Oleh kerana cerita-cerita negatif di dada akhbar mengenai guru tersiar, habis semua guru menerima kesannya. Ibu bapa juga seolah-olah tidak mempercayai guru yang diamanahkan untuk mendidik anak-anak mereka di sekolah. Ada sahaja salah guru di mata ibu bapa. Guru membuat tanda soal di dalam buku kerja anak mereka  yang secara terang-terangan tidak menyiapkan kerja rumah yang diberikan juga boleh menjadi isu besar.

Namun demikian, tidak dinafikan bahawa ada segelintir guru yang mencemarkan profesion perguruan dengan pelbagai perkara negatif seperti khalwat, cabul, rogol dan sebagainya. Sudah menjadi lumrah alam, manusia tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan. Guru-guru harus lebih berhati-hati dan berfikir sebelum melakukan sebarang tindakan kerana dikhuatiri tindakan yang dilaksanakan boleh mencemarkan profesion perguruan.
Saksikan.

Pernahkah anda menonton video-video klip beliau?
Suatu masa dahulu, nama Cikgu Shida menjadi popular dalam sekelip mata dan menjadi sebutan ramai. Siapakah Cikgu Shida? Cikgu Shida atau nama sebenarnya Roshida binti Abdul Aziz merupakan seorang guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah yang terletak di Parit, Perak. Guru berusia 40 tahun ini menjadi terkenal kerana aksi miming di laman video popular iaitu Youtube. Artikel yang dipetik daripada laman sesawang akhbar tersohor negara iaitu Harian Metro menceritakan bagaimana minat Cikgu Shida untuk membuat video miming ini bermula. “Niat suka-suka” begitulah jawapan beliau apabila ditanya wartawan. Pelbagai jenis lagu telah dibuat lakonan nyanyian miming oleh beliau. Ada sesetengah videonya telah ditonton lebih sejuta penonton sejak video tersebut dimuat naik ke laman sesawang Youtube. Video-video beliau turut ditonton oleh masyarakat dari luar negara. Satu pencapaian yang agak hebat bagi individu biasa.
Pelbagai tohmahan dan tidak kurang juga pujian telah diberikan kepada beliau. Ada pihak yang menyokong dan ada juga pihak yang mengeji tindakan beliau menghasilkan klip video lakonan miming. Namun, ia sedikit pun tidak melemahkan semangat Cikgu Shida untuk menghiburkan orang lain dengan caranya yang tersendiri. Video klip miming Cikgu Shida menjadi kontroversi hangat kerana di dalam video-video beliau, beliau menggayakan pelbagai jenis kostum dengan memek muka dan aksi yang agak keterlaluan dilihat namun lucu. Apa yang menjadi isu adalah aksi yang ditunjukkan beliau seolah-olah tidak sesuai dengan kerjayanya seorang guru.
Cikgu Shida turut dijemput sebagai tetamu undangan di dalam beberapa rancangan bual bicara mengenai hiburan. Malah, beliau turut turut ditawarkan membintangi drama. Namun, apakah pandangan masyarakat terhadap beliau? Adakah apa yang dilakukan oleh Cikgu Shida ini melanggar etika guru?
Melalui pembacaan daripada blog dan komen-komen di akhbar, didapati bahawa kebanyakan anggota masyarakat tidak begitu senang dengan tingkah laku Cikgu Shida ini. Menurut mereka, Cikgu Shida sudah mencemarkan imej profesion perguruan, memalukan kaum wanita dan tidak layak menjadi contoh. Tidak kurang juga yang meminta agar Cikgu Shida diberhentikan atau dipecat oleh Kementerian Pelajaran Malaysia daripada menjadi guru. Namun demikian, Cikgu Shida khabarnya merupakan seorang guru yang komited, kreatif dan cemerlang dalam pengajarannya. Menurut khabaran itu juga, oleh sebab itu, guru besar sekolah tersebut tidak mengambil apa-apa tindakan tatatertib ke atas beliau. Banyak komen daripada blogger-blogger menyatakan bahawa Cikgu Shida telah melanggar etika perguruan. Adakah ianya benar?
Menurut Kamus Dewan(1995), etika merupakan sebuah sistem dasar akhlak, adat atau tingkah laku atau kesusilaan. Dari pandangan Islam pula, etika merupakan akhlak dan tingkahlaku yang baik yang diamalkan oleh seorang yang baik peribadinya. Menurut Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), etika ialah akauntabiliti dan akibat tingkahlaku seseorang atau profesion terhadap masyarakat. Setiap penjawat awam harus mematuhi  dan memahami larangan serta kebenaran tingkahlaku Perkhidmatan Awam. Etika juga boleh disimpulkan sebagai suatu aturan tingkahlaku yang baik dan berakauntabiliti yang perlu diamalkan oleh setiap individu.
Setiap profesion mempunyai kod etika kerja yang tersendiri. Profesion perguruan juga tidak terlepas daripada mempunyai etika kerja sendiri. Etika kerja perguruan digubal bagi memartabatkan profesion perguruan. Setiap individu yang bergelar guru wajib mematuhi kod etika ini selama masih dirinya bergelar guru. Ia adalah untuk menjaga status, akhlak dan maruah dalam profesion keguruannya. Di Malaysia, ‘Tatasusila Profesion Keguruan’ yang disarankan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia merupakan landasan dan garis panduan bagi setiap guru. Menurut ‘Tatasusila Profesion Keguruan’ ini, setiap guru mempunyai akauntabiliti ke atas murid, ibu bapa, masyarakat dan negara, rakan sejawat dan profesion.
Ikrar Tatasusila Profesion Keguruan:
“Kami, guru-guru Malaysia, yakin bahawa tujuan utama pendidikan ialah berusaha menuju ke arah pembentukan warganegara yang berilmu,yang taat setia, yang bertanggungjawab dan berkebolehan, yang menyedari betapa pentingnya usaha menuju ke arah kebenaran dan ke arah pencapaian hasrat yang gemilang, dan yang percaya kepada demokrasi, kebebasan perseorangan dan prinsip-prinsip Rukun Negara. Dengan menyedari betapa besarnya tanggungjawab mebimbing anak muda untuk mecapai kemajuan sepenuh-penuhnya, maka dengan ini, kami menerima Tatasusila berikut sebagai panduan untuk membolehkan kami menyempurnakan profesion kami ke taraf kesusilaan yang setinggi-tingginya :
                      i.        Tanggungjawab terhadap pelajar
                    ii.        Tanggungjawab terhadap ibu bapa
                   iii.        Tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara
                   iv.        Tanggungjawab terhadap rakan sejawat dan profesion keguruan”

Kod etika perguruan menjadi garis panduan bagaimana bertingkahlaku dalam profesion yang banyak menguji kesabaran ini. Kod etika perguruan juga menyatakan dengan jelas tentang tanggungjawab guru sebagai pemegang amanah di dalam bidang pendidikan. Amanah yang dipikul oleh insan bernama guru adalah amat besar. Guru harus mendidik dan mencorak generasi muda yang bakal memimpin negara pada masa akan datang. Maka, guru haruslah mengikut dan mematuhi kod etika perguruan agar guru masih lagi berjalan dan berlari di atas landasan yang betul.
Terdapat pelbagai isu berkaitan dengan etika guru seperti kesantunan guru, kepedulian guru, penampilan guru, berniaga di sekolah, pengurus masa dan juga pengurus kewangan. Kesemua masalah dan isu berkaitan guru dapat dikelaskan kepada enam isu itu. Keenam-enam isu tersebut merupakan isu berkaitan guru yang terjadi di Malaysia. Berbalik kepada isu yang ditimbulkan apabila tersebarnya video lakonan miming Cikgu Shida. Adakah perilaku Cikgu Shida yang mana minatnya untuk membuat video miming tersebut salah di sisi etika keguruan? Adakah beliau telah melanggar kod etika perguruan dan Tatasusila Profesion Keguruan?
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) iaitu Encik Hashim Adnan berpendapat bahawa isu Cikgu Shida ini tidak melanggar etika perguruan dan ia hanya bersifat mencari hiburan untuk diri sendiri. Beliau turut meminta masyarakat untuk melihat apa yang dilakukan oleh Cikgu Shida dari sudut yang positif. Beliau mengatakan Cikgu Shida berjaya menunjukkan kreativitinya kerana berjaya melakonkan pelbagai watak dengan pelbagai aksi yang lucu untuk ditonton. Selain itu, beliau juga berkata laman sesawang Youtube mampu dilayari sesiapa sahaja dari seluruh dunia dan ini bererti video itu boleh ditonton pelbagai golongan, sekali gus menaikkan institusi perguruan. Kenyataan beliau telah dikecam oleh mereka yang tidak menyukai video lakonan miming Cikgu Shida kerana berpendapat beliau seolah-olah menyokong apa yang dibuat oleh Cikgu Shida.
Setiap individu mempunyai pandangan yang berbeza-beza mengenai isu ini. Pada pendapat saya sebagai seorang guru pelatih, Cikgu Shida sebenarnya merupakan seorang guru yang berbakat dan kreatif dalam mengajar. Sewaktu melayari laman sesawang youtube, saya ada menonton sebuah klip video Cikgu Shida. Beliau telah mencipta sebuah lagu patriotik dan mengajarkan lagu tersebut kepada murid-muridnya di sekolah. Selain itu juga, terdapat video yang menunjukkan murid-murid beliau membuat persembahan dengan bimbingan dan tunjuk ajar dari beliau. Bukan mudah bagi seorang guru untuk membimbing murid-murid sekolah rendah untuk membuat persembahan yang kreatif dan menarik. Selalunya, ia akan memakan masa yang agak lama untuk melatih murid-murid membuat persembahan. Rata-rata guru yang diberi tanggungjawab untuk melatih murid membuat persembahan sudah pasti akan ketandusan idea untuk mencari aktiviti persembahan yang sesuai dengan kebolehan dan tahap murid. Begitu juga dengan Cikgu Shida. Beliau kreatif di dalam memilih persembahan dan membimbing murid-muridnya. Usaha beliau yang komited dapat dilihat dalam video tersebut apabila murid-muridnya berjaya membuat persembahan dengan baik. Ini menunjukkan, latihan dan bimbingan yang diberikan oleh beliau berkesan.
Namun demikian, mengenai video lakonan nyanyian Cikgu Shida, ianya agak kurang manis untuk dilakukan oleh seorang insan yang bergelar guru. Tambahan lagi, guru wanita. Pada pendapat saya, video lakonan nyanyiannya telah melanggar kod etika perguruan. Walaupun pada hakikatnya, beliau hanya berniat sekadar untuk mengisi lapang, namun, gaya dan perwatakan beliau dalam video tersebut agak kurang menyenangkan. Rata-rata laman sesawang dan juga komen-komen penonton menyatakan video tersebut amat memalukan dan mencalarkan imej seorang guru dan profesion perguruan. Ada juga segelintir komen dan pendapat yang menunjukkan tanggapan negatif mereka terhadap guru selepas menonton video lakonan nyanyian Cikgu Shida. Maka, apabila terdapatnya pendapat yang sebegini, saya berpendapat bahawa Cikgu Shida telah melanggar kod etika perguruan di bawah isi tanggungjawab kepada rakan sejawat dan profesion.
Antara isi penting tanggungjawab kepada rakan sejawat dan profesion adalah seperti yang berikut:-
                      i.        Mengelakkan diri dari membuat sebarang kenyataan atau ulasan yang boleh mencemarkan nama baik seseorang guru di hadapan pelajar atau ibu bapa atau membuat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah seseorang guru.
                    ii.        Tidak melibatkan diri dalam sebarang kegiatan yang boleh menjejaskan kecekapan kami sebagai guru.
                   iii.        Berusaha dengan sepenuh-penuhnya menunaikan tanggungjawab kami dengan rajin dan bersungguh-sungguh dan mengekalkannya sejajar dengan kemajuan ikhtisas dan sosial.
                   iv.        Sentiasa bersedia membantu rakan sejawat kami terutamanya mereka yang baharu dalam profesion perguruan.
                    v.        Sentiasa mengawasi diri kami supaya tidak mencemarkan nama baik profesion perguruan.
                   vi.         Akan menjadi ahli sebuah pertubuhan guru.

Berdasarkan kepada isi (i) dan (v). Tanggungjawab kepada rakan sejawat dan profesion perguruan memerlukan seorang guru menjaga nama baik seseorang guru di hadapan murid dan ibu bapa serta tidak melakukan sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah  seorang guru. Tindakan Cikgu Shida yang beraksi sedemikian rupa adalah amat memalukan. Saya yang menonton video-video lakonan nyanyian beliau juga berasa malu. Beliau sanggup berpakaian seperti lelaki dan mencalitkan warna-warna hitam seolah-olah misai dan janggut untuk menjayakan lakonan nyanyiannya. Gerak tari dan memek muka beliau jelas menunjukkan beliau tidak berasa malu untuk beraksi di hadapan kamera. Pelbagai kritikan pedas dan cercaan dapat dibaca ada ruangan komen dalam laman sesawang youtube. Ada antara pelayar Youtube mengatakan bahawa Cikgu Shida sudah mencemarkan profesion perguruan. Malah, ada yang mengatakan Cikgu Shida seorang yang gila dan tidak waras akal fikirannya.
Rujuk komen
Sebagai seseorang yang memegang jawatan sebagai guru, beliau seharusnya lebih bijak menjaga nama baik profesion dan maruah dirinya sendiri. Beliau seharusnya menjaga tingkahlaku, dan imej bersih seorang guru. Seorang guru haruslah mempunyai tingkahlaku yang sopan dan menjaga adab serta tatasusilanya di hadapan umum. Apabila menonton video-video miming beliau, saya lantas beristighfar kerana terkejut melihat aksinya. Saya akui beliau memang seorang individu yang berani. Namun, perlu ada batasannya kerana selagi seseorang itu bergelar guru, maka segala tindakannya haruslah terkawal agar tidak melanggar etika. Akibat daripada ‘keberanian’ beliau menghasilkan video ini, ramai individu mempertikaikan gelaran ‘Cikgu’ pada Cikgu Shida. Mereka memperlekehkan Cikgu Shida dengan mengatakan beliau tidak layak menjadi guru dan bermacam-macam lagi. Tidak kurang juga ada yang beranggapan bahawa guru-guru di sekolah mempunyai masa rehat yang terlalu banyak dan menghabiskan masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah seperti merakam video sendiri, berniaga dan sebagainya. Imej profesion perguruan telah tercalar di situ.
Ramai yang beranggapan bahawa beliau telah mencemarkan dan menjejaskan profesion perguruan. Dalam Etika Profession Perguruan juga ada menyebut:
                      i.        Seorang guru tidak harus bertingkah laku begitu rupa sehingga mencemarkan sifat profesionnya dan yang akan menyebabkan hilang kepercayaan orang ramai terhadap profession perguruan.
                    ii.        Dia tidaklah harus bertingkah laku begitu rupa yang boleh membawa kepada jatuhnya maruah diri dan kehilangan amanah berhubung dengan kewangan.
Jelaslah di sini, bahawa tindakan beliau itu menyalahi etika profesion perguruan. Mungkin selepas ini, beliau akan lebih berhati-hati dan menjaga etika kerjanya.
Selain itu juga, isu beliau menjadi pertikaian hangat kerana tindakannya tidak sopan dan tidak sesuai dengan imejnya sebagai seorang Muslimah. Di sekolah, seorang guru wanita Islam kebiasaannya akan memakai tudung. Begitu juga Cikgu Shida. Pada pendapat saya, beliau bukanlah seorang wanita yang bertudung atas dasar terpaksa kerana menjawat jawatan guru. Penampilan beliau di dalam rancangan bual bicara FBI yang disiarkan di TV9 jelas menunjukkan beliau seperti guru-guru biasa di sekolah yang berpenampilan sopan dan menutup auratnya. Jelas ketara imejnya sebagai seorang seorang guru.
Namun demikian, di dalam video lakonan nyanyiannya, imejnya berubah. Malah ada di dalam sesetengah video hasilannya, beliau tidak memakai tudung. Khususnya apabila beliau melakonkan watak lelaki. Auratnya sebagai seorang wanita Muslimah juga tidak dijaga dengan baik. Lehernya juga kadang-kadang terdedah. Beliau seolah-olah terlalu menghayati watak yang dibawa sehingga menjejaskan batasnya sebagai seorang wanita beragama Islam. Ada juga yang menyuarakan pendapat seandainya video ini dihasilkan oleh seorang guru lelaki, ia mungkin tidak menjadi masalah dan isu besar.
Rakyat Malaysia terkenal dengan sifat sopan-santun dan merendah diri. Kaum wanita berbangsa Melayu khususnya dikenali sebagai seorang yang lemah lembut, bersopan-santun dan juga pemalu. Namun, daripada video-video beliau, ramai yang beranggapan bahawa nilai sopan dan pemalu tersebut telah hilang dalam video. Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, isu etika guru juga meliputi isu kesantunan. Kesantunan dapat dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu:-
                      i.        Kesantunan berpakaian
a.    Jenis Pakaian
b.    Solekan
                    ii.        Kesantunan tingkahlaku
a.    Tatacara bertindak
b.    Gerak geri guru
                   iii.        Kesantunan berbahasa
a.    Cara berkomunikasi
Dalam isu ini, ia terletak di bawah isi kesantunan tingkah laku. Guru merupakan contoh dan ikutan bagi murid-murid. Maka, guru haruslah menunjukkan sifat dan kesantunan yang tinggi agar murid-murid lebih menghormati guru tersebut. Menurut Prinsip Kesantunan Leech (1983), terdapat 6 prinsip kesantunan yang wajar dipatuhi.
                      i.        Santun/berhemah : meminimumkan kos dan memaksimumkan faedah kepada orang lain
                    ii.        Budiman : meminimumkan faedah atau manfaat dan memaksimumkan kos ke atas diri sendiri.
                   iii.        Sokongan / berkenan : meminimumkan cacian dan memaksimumkan pujian terhadap orang lain
                   iv.        Merendah diri / kerendahan hati : meminimumkan pujian, memaksimumkan cacian terhadap diri sendiri
                    v.        Persetujuan : meminimumkan perbalahan, memaksimumkan persetujuan antara diri dengan orang lain
                   vi.        Simpati : memaksimumkan simpati antara diri dengan orang lain
Berdasarkan model ini, guru haruslah mengamalkan setiap aspek kesantunan dalam kehidupan supaya menjadi guru yang dihormati dan disegani serta menjadi contoh ikutan kepada murid-murid di sekolah.
Apabila masyarakat memanggil kita dengan gelaran ‘cikgu’, ia bagaikan satu penghormatan kepada kita. Tipikal rakyat Malaysia, menganggap guru ataupun lebih mudah dikenali sebagai cikgu adalah seorang yang sempurna dalam segala hal. Cikgu pada minda rakyat Malaysia merupakan seorang yang lemah lembut, sopan dan baik budi pekerti serta akhlaknya. Di dalam isu Cikgu Shida ini, andai kata beliau bukanlah seorang guru, sudah tentu ia tidak menjadi perdebatan hebat. Andai beliau merupakan seorang jurutera, arkitek dan merakamkan video lakonan nyanyian begini, masyarakat tentu tidak mengambil kisah. Namun, gelaran cikgu yang ada pada beliau menyebabkan beliau dicemuh kerana tipikal rakyat Malaysia memang begitu.
Dalam laman facebook Cikgu Shida, beliau pernah mengatakan beliau tidak selesa dipanggil Cikgu Shida, sebaliknya lebih senang sekiranya dipanggil dengan nama Cik Shida sahaja. Bagi beliau, gelaran cikgu hanya sesuai dipanggil di tempat dia bekerja sahaja. Pada pandangan saya, Cikgu Shida sebenarnya sedar akan tindakannya itu sedikit sebanyak mencalarkan imej profesion perguruan. Oleh sebab itu, dia meminta orang ramai memanggilnya dengan panggilan cik sahaja dan bukannya cikgu. Namun disebabkan minatnya untuk membuat lakonan nyanyian, beliau meneruskan penghasilan video-video ini. Malah beliau turut menganggapnya sebagai satu cabang seni.
Ada individu daripada ruangan laman Facebook yang berpendapat, gelaran cikgu itu perlu dibawa walaupun di mana jua guru itu berada. Dalam agama Islam pun, guru itu mendapat tempat tertinggi selepas kedua ibu dan bapa. Sehingga seorang guru itu meninggal dunia, gelaran cikgu itu tidak akan pernah terpisah daripada namanya. Orang ramai akan tetap mengingatinya sebagai guru.
 Dalam minda masyarakat Malaysia, seorang guru itu haruslah merupakan seorang insan yang sempurna. Elok penampilan, tersusun tutur bahasa, baik tingkah laku dan tinggi akhlak pekerti adalah trait-trait personaliti guru dalam minda masyarakat kita. Mereka amat berharap guru yang mengajar anak-anak mereka di sekolah merupakan individu yang berakauntabiliti dan berintegriti serta sesuai dijadikan contoh ikutan anak-anak mereka. Rasa percaya mereka terhadap guru akan timbul dengan melihat guru-guru yang wajar dijadikan contoh bagi anak-anak di sekolah.
Kerjaya guru tugas mulia di sisi Islam, apatah lagi membabitkan disiplin ilmu berkaitan agama. Islam sebagai satu agama yang mementingkan ilmu pengetahuan, memandang tinggi martabat seorang pendidik sama ada berkaitan ilmu duniawi atau ukhrawi. Dalam hal ini, Rasulullah SAW membuktikan betapa pentingnya peranan guru dalam proses penyebaran dakwah Islamiah pada zaman permulaan Islam. Sebagai utusan terakhir kepada umat manusia, Baginda SAW sendiri mengajar dan mendidik umat manusia berpandukan wahyu Ilahi. Baginda juga merupakan seorang guru pada zamannya.
Dewasa ini, pelbagai berita yang boleh dikira sebagai keadaan di mana martabat guru cuba direndahkan. Hal ini tidak sepatutnya berlaku. Memang ada segelintir guru yang membuat onar tetapi sebahagian besar menjalankan tanggungjawab mendidik anak bangsa dengan baik. Ibarat kata pepatah, jangan kerana seekor kerbau membawa lumpur, habis semuanya terpalit sama.
Sesungguhnya segala amal bakti seorang guru dalam menyampaikan ilmu yang bermanfaat kepada anak didiknya akan melayakkan dirinya mendapat ganjaran kebaikan, meskipun setelah pergi mengadap Ilahi. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya." (Surah al-Muzammil, ayat 20). Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: "Apabila meninggal dunia seorang manusia, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, anak soleh yang mendoakannya." (Hadis riwayat Muslim). Jelas di sini bahawa profesion perguruan itu mendapat tempat yang tinggi di dalam agama Islam. Ianya merupakan sebuah profesion yang mulia. Maka, sebagai seorang yang bergelar guru, kita haruslah menjaga nama baik profesion dan tidak melanggar etika-etika perguruan agar masyarakat kekal memandang mulia kerjaya guru sehingga akhir zaman nanti. InsyaAllah!